GAMBAR hiasan. FOTO Fathil Asri.
GAMBAR hiasan. FOTO Fathil Asri.
Ruwaida Md Zain

Shah Alam: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) memutuskan penutupan semua operasi sekolah yang berada di bawah kawalan jabatan itu bagi tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor yang akan bermula esok hingga 27 Oktober depan.

Pengarahnya, Mohd Shahzihan Ahmad berkata, penutupan ini juga akan membabitkan institusi pendidikan swasta berdaftar yang mempunyai asrama.

"Justeru, ibu bapa disarankan untuk mengambil anak masing-masing di asrama.

"Bagaimanapun, jika terdapat pelajar yang berhasrat untuk terus kekal di asrama, adalah menjadi tanggungjawab pihak institusi untuk memastikan keselamatan dan kebajikan pelajar ini diberi perhatian dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang sedia ada sepanjang tempoh PKPB, " katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Shahzihan berkata, sesi pembelajaran bagi pelajar sepanjang tempoh PKPB juga perlu diberi perhatian oleh guru.

"Pihak pentadbir institusi pendidikan diarahkan untuk memastikan guru serta pelajar melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di rumah dengan kaedah bersesuaian," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Oktober 2020 @ 11:26 AM