Othman maklumkan peperiksaan UPKK setakat ini akan berlangsung serentak di seluruh negara seperti yang dijadualkan. FOTO fail NSTP
Othman maklumkan peperiksaan UPKK setakat ini akan berlangsung serentak di seluruh negara seperti yang dijadualkan. FOTO fail NSTP
Oleh Siti A'isyah Sukaimi


Putrajaya: Peperiksaan Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) setakat ini akan berlangsung serentak di seluruh negara seperti yang dijadualkan iaitu pada 5 hingga 8 Oktober ini.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia(JAKIM) Datuk Othman Mustapha berkata, pada tahun ini jabatan itu akan mengendalikan peperiksaan UPKK kepada lebih 200,000 calon di seluruh negara termasuk di Selangor.

"Pada masa sama, jadual peperiksaan syafawi Ujian Penilaian Sekolah Rendah Agama (UPSRA) di Wilayah Persekutuan akan diadakan pada 1 hingga 2 Oktober 2015.

"Bagi peperiksaan bertulis UPSRA dan UPKK akan diadakan pada 5 hingga 8 Oktober di seluruh Sekolah Rendah Agama di Wilayah Persekutuan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Othman berkata, JAKIM menyambut baik kenyataan pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang menjadualkan semula peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah Agama (PSRA) di Selangor.

Ia disebabkan oleh penutupan sekolah di negeri itu esok kerana masalah jerebu di mana peperiksaan berkenaan adalah membabitkan sekolah di bawah pentadbiran JAIS.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 September 2015 @ 11:30 PM