GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Norzamira Che Noh


KEPUTUSAN sama ada Peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah Agama (PSRA) akan dibatalkan atau sebaliknya akan dibincangkan Rabu minggu depan.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, perkara itu akan dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).

“Kita sedang mengumpul maklumat dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) akan mengemukakan pelan serta perancangan dalam mesyuarat akan datang.

“Penelitian dan penilaian terhadap cadangan akan kita lakukan pada mesyuarat sebelum membuat keputusan,” katanya pada sidang media di Kediaman Rasmi Menteri Besar, hari ini.

Sementara itu, Pengarah JAIS, Mohd Shahzihan Ahmad berkata, pihaknya akan berbincang dalam masa terdekat mengenai status PSRA dengan merujuk kepada beberapa perkara.

“Kita akan merujuk kepada keutamaan keselamatan dan kedudukan peperiksaan kepada kelangsungan pelajar.

“Ia termasuk apakah sistem dan bentuk pentaksiran pelajar sedia ada yang akan digunakan selain turut melihat bagaimana ia diambil kira jika peperiksaan berkenaan dibatalkan,” katanya ketika dihubungi.

Terdahulu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) memaklumkan pelaksanaan Ujian Penilaian Kelas Kafa (UPKK) bagi subjek bertulis di seluruh negara dibatalkan.

Menteri Jabatan Perdana Menteri, Hal Ehwal Agama, Datuk Dr Zulkilfi Mohamad Al-Bakri dipetik berkata, ujian itu dijadualkan pada 28 September hingga 1 Oktober ini.

Beliau dilaporkan berkata, keputusan itu diambil kerana mengambil kira keselamatan dan kesihatan murid terjamin.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 April 2020 @ 3:10 PM