ANTARA rumah yang dikunjungi oleh petugas untuk mengedarkan borang pendaftaran vaksin. FOTO ROSELAN AB MALEK
ANTARA rumah yang dikunjungi oleh petugas untuk mengedarkan borang pendaftaran vaksin. FOTO ROSELAN AB MALEK
Roselan Ab Malek


Jerantut: Majlis Daerah Jerantut (MDJ) dengan kerjasama jabatan kerajaan yang lain mengadakan kempen pendaftaran vaksinasi dari rumah ke rumah bagi membantu orang ramai di Jerantut mendaftar sebagai penerima vaksin Covid-19.

Yang Dipertua Majlis Daerah Jerantut, Khairun Nissa Aris, berkata bermula hari ini sehingga esok, wakil daripada jabatan kerajaan akan mengedarkan borang pendaftaran vaksinasi secara terus ke peti surat setiap rumah di taman perumahan yang terbabit.

"Bagi taman yang tidak tersenarai dalam kempen ini, pelaksanaan program pendaftaran imunisasi dilakukan melalui Kelab Rukun Tetangga (KRT) taman masing masing yang di bawah seliaan pejabat Perpaduan Daerah Jerantut.

"Penduduk berusia 18 tahun ke atas adalah layak untuk mendaftar vaksinasi Covid-19. Orang ramai diminta memberikan kerjasama dengan mengisi borang yang diedarkan dan kemudian menempatkan semula borang yang sudah diisi ke dalam peti surat kediaman masing-masing bagi memudahkan pungutan semula borang dilakukan dengan kontak yang minimum.

"Wakil jabatan kerajaan yang terbabit akan datang sekali lagi ke kawasan perumahan bagi memungut semula borang tersebut pada 10 Jun dan 11 Jun nanti," katanya.

Beliau berkata, penduduk taman perumahan terbabit boleh juga menghantar borang tersebut secara dalam talian melalui aplikasi Whatsapp atau e-mel seperti yang tercatat di ruangan bawah borang pendaftaran tersebut.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Jun 2021 @ 12:14 PM