Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: "Sebolehnya saya mahu mendapatkan suntikan vaksin secepat mungkin kerana wabak Covid-19 semakin membimbangkan," kata pesara guru Mat Yusoff Abdullah, 62.

Menurut Mat Yusoff, dia sudah mendaftar suntikan vaksin melalui aplikasi MySejahtera sejak dua bulan lalu, namun belum dipanggil untuk janji temu.

Katanya, meskipun ada individu yang menolak atau berfikiran negatif mengenai vaksin, namun masyarakat seharusnya mengambil suntikan vaksin sebagai pelindung diri.

"Saya sendiri sudah dua bulan menunggu untuk menerima suntikan vaksin dan belum mendapat tarikh janji temu sehinggalah pada hari ini saya mengambil inisiatif untuk mengisi borang pendaftaran suntikan vaksin secara manual, hari ini.

"Saya adalah golongan warga emas yang mudah terdedah kepada risiko jangkitan dan sebab itu saya mahu mendapatkan vaksin dengan kadar segera. Tidak timbul rasa risau atau takut apabila disuntik," katanya.

Mat Yusoff berkata demikian ketika ditemui dalam Program Jelajah Pendaftaran Vaksinasi Covid-19 di Pasar Melor, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pemuda Umno Bahagian Ketereh, Saipuddin Mohamad.

Program berkenaan adalah inisiatif Ahli Parlimen Ketereh Tan Sri Annuar Musa dengan menyasarkan 20,000 penduduk mendaftar untuk suntikan vaksin.

Seorang lagi warga emas, Nafisah Abd Ghani, 66, berkata, dia sanggup memandu bersendirian sejauh 15 kilometer (km) dari rumahnya di Binjai untuk datang ke program berkenaan.

"Sebelum ini, anak-anak sudah beberapa kali mengingatkan saya supaya mendaftar suntikan vaksin melalui aplikasi MySejahtera, namun saya sering terlupa disebabkan tinggal bersendirian.

"Kebetulan, ibu saudara memaklumkan kepada saya terdapat kaunter bergerak bagi program vaksinasi di Pasar Melor dan saya mengambil peluang ini untuk terus mendaftar," katanya.

Saipuddin (kanan) menyerahkan borang pendaftran vaksin kepada salah seorang penduduk ketika Program Jelajah Pendaftaran Vaksinasi COVID-19 di Pasar Melor. FOTO HAZIRA AHMAD ZAIDI
Saipuddin (kanan) menyerahkan borang pendaftran vaksin kepada salah seorang penduduk ketika Program Jelajah Pendaftaran Vaksinasi COVID-19 di Pasar Melor. FOTO HAZIRA AHMAD ZAIDI

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Jun 2021 @ 2:51 PM