BANK Negara Malaysia.
BANK Negara Malaysia.
Murnaena Muhammad Nasir


Kuala Lumpur: Ratusan syarikat percetakan semakin tenat dan berkemungkinan terpaksa gulung tikar susulan Sekatan Pergerakan Penuh (SPP) yang dikuat kuasakan ketika ini.

Perkara itu dinyatakan Penasihat Persatuan Pengusaha Percetakan Melayu Malaysia (PPPMM), Muhammed Farhan Basheer dan berharap kerajaan menerusi Bank Negara Malaysia (BNM) memantau komitmen institusi perbankan mahupun syarikat kredit berlesen supaya menyediakan pakej moratorium.

"Persatuan menyifatkan, pakej moratorium itu adalah harapan terakhir kepada kira-kira 100 ahli PPPMM untuk bertahan dan meneruskan kelangsungan dalam industri.

"Ini juga bagi meringankan beban kewangan komuniti perniagaan serta perusahaan percetakan selepas kira-kira 16 bulan terjejas akibat penularan Covid-19," katanya dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini.

Menurutnya, berikutan perubahan teknologi mesin percetakan dan penjilidan yang semakin canggih, ahli PPPMM terpaksa membuat pelaburan yang besar untuk membeli mesin baharu sebelum 2020 supaya pengoperasian lebih efisien.

"Ramai ahli persatuan membuat pinjaman bank dan syarikat kredit berlesen demi meningkatkan daya saing syarikat sekali gus memenuhi tuntutan pelanggan yang mahu kerja-kerja mencetak disiapkan dengan kadar lebih pantas.

"Namun sejak pandemik Covid-19 awal tahun lalu, tender atau kerja-kerja mencetak yang ditawarkan semakin terhad sehingga rata-rata ahli persatuan tidak lagi mampu meraih pendapatan untuk melunaskan bayaran ansuran bulanan masing-masing," katanya.

Katanya, selain terbeban dengan ansuran bulanan yang tinggi, aliran tunai ahli PPPMM juga semakin kritikal kerana mereka perlu menanggung pelbagai kos operasi khususnya gaji pekerja yang dianggarkan antara 15 hingga 500 orang serta harga kertas yang semakin mahal.

"Perubahan sikap pengguna yang semakin ramai meminggirkan kebiasaan membaca bahan bercetak dan lebih cenderung mendapatkan maklumat menerusi pelbagai aplikasi dalam talian dan media sosial dalam internet turut memberi kesan.

"Ini menyebabkan industri percetakan terjejas teruk dan ada ahli PPPMM menanggung kerugian berjuta ringgit kerana buku-buku dan majalah yang diterbitkan tidak laku di pasaran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Jun 2021 @ 6:27 PM