Majlis graduasi Ahmad Yusuf turut dihadiri Penasihat Pertahanan Brigedier Jeneral Datuk Saadon Hasnan TUDM bersama isteri di Akademi Laut Amerika Syarikat (USNA) di Annapolis, Maryland, Amerika Syarikat (AS). FOTO ihsan Ahmad Yusuf
Majlis graduasi Ahmad Yusuf turut dihadiri Penasihat Pertahanan Brigedier Jeneral Datuk Saadon Hasnan TUDM bersama isteri di Akademi Laut Amerika Syarikat (USNA) di Annapolis, Maryland, Amerika Syarikat (AS). FOTO ihsan Ahmad Yusuf
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Peluang memasuki Akademi Laut Amerika Syarikat (USNA) di Annapolis, Maryland, Amerika Syarikat (AS) tidak disia-siakan Ahmad Yusuf Ahmad Azani, 22, apabila berjaya menamatkan pengajian dan latihan ketenteraan dengan cemerlang.

Pegawai Kadet Kanan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) itu adalah anak Malaysia yang direkrut memasuki USNA selama empat tahun pada 2017, sebelum menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Sains Operasi Siber, 28 Mei lalu.

Ahmad Yusuf berkata, bukan mudah untuknya sampai ke tahap itu kerana perlu setanding penuntut dari negara asal dan sebab itu dia memanfaatkan peluang sepanjang di sana sebaik-baiknya.

Berkongsi pengalaman, anak sulung daripada empat beradik itu mengakui pada mulanya sukar untuk dia menyesuaikan diri dengan kehidupan di luar negara tambah pula terpaksa terpaksa berjauhan daripada keluarga.

"Ketika itu, saya berusia 18 tahun dan baru tamat belajar di Maktab Tentera Diraja (MTD). Sudah pastinya saya tidak biasa dengan alam universiti, lebih-lebih lagi berada di AS.

"Namun saya bersyukur rakan sekumpulan banyak membantu saya menyesuaikan diri dan adaptasi dengan budaya, sosial, cara latihan serta pembelajaran di sana.

"Keluarga juga banyak memberi dorongan dan semangat. Mereka meletakkan sepenuh kepercayaan kepada saya sepanjang berada di negara orang," katanya ketika dihubungi Harian Metro hari ini.

Ahmad Yusuf yang mengikuti latihan sejak 19 Jun 2017 menamatkan pengajiannya pada 28 Mei lalu dengan majlis graduasinya itu dihadiri Penasihat Pertahanan Brigedier Jeneral Datuk Saadon Hasnan TUDM bersama isteri.

Bercerita lanjut, Ahmad Yusuf yang pernah menerima Hadiah Menteri Pertahanan pada 2016 berkata, dia memberikan sepenuh komitmen sepanjang tempoh latihan.

Katanya, dia turut seimbangkan antara latihan dan kehidupan sosial bersama rakan lain kerana mereka tempat menumpang kasih berikutan tiada ahli keluarga di sana.

"Paling terkesan ketika wabak Covid-19 melanda, kelas diadakan secara dalam talian dan ramai rakan bersama keluarga. Saya pula tiada keluarga tapi bersyukur mereka banyak membantu," katanya yang kini sedang menjalani kuarantin wajib sejurus pulang ke tanahair pada Jumaat lalu.

Ahmad Yusuf dijangka mengikuti Kursus Kelayakan Pegawai Eksekutif di KD Sultan Idris I di Lumut, Perak, pada September depan.

Dia berharap ilmu dan pengalaman sepanjang di USNA dapat digunakan untuk berbakti kepada pasukan TLDM selepas ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Jun 2021 @ 5:28 PM