Mohd Jamilul Anbia Md Denin

Kuala Lumpur: "Sepanjang tempoh empat tahun menuntut di Akademi Tentera Laut Amerika Syarikat (United States Naval Academy (USNA), pelbagai cabaran getir membabitkan aspek kepemimpinan, fizikal dan mental perlu saya lepasi," ujar Pegawai Kadet Kanan (PKK) Janusha Bala Krishnan Muthiah, 23, dari Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Beliau melakar sejarah apabila menjadi pegawai wanita pertama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang berjaya menamatkan program Ijazah Pengajian dan Latihan Ketenteraan di USNA, baru-baru ini.

Majlis tamat pengajian penuh gemilang disempurnakan Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden dan dihadiri barisan kepimpinan tertinggi Tentera Laut Amerika bersama duta serta penasihat pertahanan dari pelbagai negara.

JANUSHA mengibarkan Jalur Gemilang ketika majlis tamat pengajian di USNA.
JANUSHA mengibarkan Jalur Gemilang ketika majlis tamat pengajian di USNA.

Kejayaannya turut mendapat ucapan tahniah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Janusha yang dihubungi wartawan Harian Metro mengakui tidak mudah mengharungi cabaran di USNA, Annapolis, Maryland sebagai pelatih wanita dari negara asing.

PELATIH perlu mengimbangi aspek kepemimpinan, akademik, fizikal serta mental.
PELATIH perlu mengimbangi aspek kepemimpinan, akademik, fizikal serta mental.

"Namun berbekalkan semangat dan sokongan keluarga dan rakan sepasukan, saya bersyukur memperoleh kejayaan ini.

"Cabaran terbesar saya pada tahun pertama apabila perlu mengimbangi aspek antara kepemimpinan, akademik dan fizikal. Untuk menjadi seorang pemimpin disegani saya perlu menjadi versi yang lebih baik.

"Saya perlu mempelajari bagaimana berkhidmat untuk orang bawahan. Sebagai pegawai, saya memikul tanggungjawab untuk memimpin dan memegang amanah meneruskan legasi pemimpin terdahulu.

"Pembahagian masa yang baik pada tahun pertama amat penting untuk mengimbangi keperluan itu berikutan USNA institusi yang sangat berprestij di Amerika Syarikat," katanya.

JANUSHA menjalani latihan keras ketika mengikuti pengajian di USNA.
JANUSHA menjalani latihan keras ketika mengikuti pengajian di USNA.

Oleh itu, menurutnya, disiplin diri dalam mengikuti jadual ketat serta semangat amat penting dalam mencapai misi ini.

"Sebagai wanita Malaysia pertama terpilih mengikuti pengajian di USNA, saya memikul tanggungjawab besar untuk membanggakan negara dan membuktikan kepada semua wanita mampu bersaing.

"Saat paling tidak dapat saya lupakan adalah ketika menyertai latihan Plebe Summer. Ia program latihan musim panas yang harus dilalui semua penuntut yang memasuki USNA.

"Program ini berlangsung tujuh minggu membabitkan latihan fizikal dan mental yang sukar. Hanya keazaman tinggi dan semangat berpasukan membolehkan pelatih melepasi ujian keras diatur," katanya yang masih berada di Amerika Syarikat.

JANUSHA (dua dari kanan) bersama rakan sepengajian.
JANUSHA (dua dari kanan) bersama rakan sepengajian.

Selain itu, menurutnya, dia turut diarah mengikuti Summer Training dengan dihantar menjalani latihan bersama Tentera Laut Amerika Syarikat di pelbagai pangkalan seluruh negara itu.

Janusha memaklumkan dia mula menjalani pengajian dan latihan ketenteraan di USNA pada 2018 bersama 1,085 pelatih dari Amerika Syarikat dan 14 pelatih dari luar negara.

"Motivasi terbesar saya dari keluarga. Ayah saya, M Bala Krishnan, 59, meninggal dunia ketika saya di USNA. Pada masa ini ibu saya, S Saraswathy, 59, menjaga adik yang kurang upaya.

"Ibu bapa saya sentiasa bekerja keras untuk mengubah hidup keluarga dan memberikan kami yang terbaik," katanya.

Menurutnya, dia terhutang budi dengan TLDM dan mahu mencurah bakti dan berkongsi ilmu dipelajari demi kepentingan negara.

"Saya berhasrat mengikut jejak langkah Leftenan Madya Chan Jun Kwan yang juga graduan USNA pada 2016. Beliau kini pegawai jurutera udara di Pangkalan TLDM Lumut. Saya ingin menggunakan ilmu kejuruteraan dipelajari untuk menjadi seorang pegawai teknikal.

"Saya terharu dan rendah diri atas penerimaan sanjungan dan pujian Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri Malaysia. Ia langsung memberikan saya semangat untuk terus menabur bakti kepada negara serta memberi yang terbaik kepada TLDM," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Jun 2022 @ 7:01 AM