JANUSHAA (kiri) menerima surat tawaran memasuki Akademi  Tentera Laut  Amerika Syarikat yang disampaikan oleh Kamala Shirin sambil diperhatikan oleh kedua ibubapanya di dewan Sekolah Kebangsaan Clifford. -Foto ROSELAN AB MALEK
JANUSHAA (kiri) menerima surat tawaran memasuki Akademi Tentera Laut Amerika Syarikat yang disampaikan oleh Kamala Shirin sambil diperhatikan oleh kedua ibubapanya di dewan Sekolah Kebangsaan Clifford. -Foto ROSELAN AB MALEK
Roselan Ab Malek

cnews@ nstp.com.my

BEKAS pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Clifford, Lipis, B Janushaa mencipta sejarah negara apabila menjadi pelajar perempuan pertama Malaysia dipilih ke Akademi Tentera Laut Amerika Syarikat (USNA) di Annapolis, Maryland.

Janushaa, 19, adalah penuntut Asasi Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

Beliau akan menjalani program ijazah selama empat tahun di akademi tentera berprestij di AS untuk menjadi pegawai tentera profesional bersama pegawai kadet dari seluruh dunia.

Anak kepada pasangan M Bala Krishan, 59, dan S Saraswathy, 59, itu diterima masuk selaku kadet tentera ke akademik berkenaan setelah menjalani sesi temu duga serta saringan ketat dan beliau akan melapor diri pada bulan depan.

Janushaa menerima surat tawaran memasuki akademik ketenteraan itu yang disampaikan Duta Besar AS Kamala Shirin Lakhdhir dalam satu majlis di Dewan SK Clifford di Lipis, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Pembangunan Sumber Manusia Ibu Pejabat Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Kapten Azhar Adam dan Guru Besar SK Clifford, Zainal Abidin Ismail.

Janushaa berkata, pencapaian itu adalah berkat dorongan daripada keluarga, guru, rakan serta saudara-mara hingga membolehkan beliau mencapai cita-cita untuk melanjutkan pelajaran ke akademi tentera berkenaan.

“Saya harap satu hari nanti dapat menjadi seorang juruterbang profesional, sekali gus ingin buktikan bahawa jantina bukan halangan untuk mencapai cita-cita.

“Harapan saya supaya kejayaan ini menjadi pemangkin semangat kepada pelajar lain untuk turut berjaya,” katanya.

Sementara itu, Kamala Shirin berkata, akademi tentera berkenaan menerima permohonan daripada 157 negara dan hanya 15 pelajar asing diterima masuk ke dalam empat akademi di sana.

“Ini adalah prosedur biasa untuk mendapatkan tempat ke dalam akademi dan wanita muda ini (Janushaa) bertuah terpilih,” katanya.

Dalam pada itu, Zainal Abidin berkata, pencapaian Janushaa yang berjaya mendapat tempat di USNA adalah satu kebanggaan buat warga SK Clifford.

“Janushaa adalah pelajar aktif dan sering terbabit dalam aktiviti kokurikulum. Beliau dikenali sebagai seorang yang rajin serta sering membantu guru.

“Dia boleh diangkat sebagai model kepada pelajar lain untuk terus berjaya, sekali gus mencapai cita-cita diimpikan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Mei 2018 @ 7:22 PM