LAPAN individu yang ditahan selepas menyertai parti sambutan hari jadi di sebuah bilik hotel di Kuala Lumpur, tengah malam tadi. FOTO Ihsan PDRM
LAPAN individu yang ditahan selepas menyertai parti sambutan hari jadi di sebuah bilik hotel di Kuala Lumpur, tengah malam tadi. FOTO Ihsan PDRM
Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Keterujaan lapan individu termasuk tiga wanita menyertai parti sempena sambutan hari jadi di sebuah bilik hotel di ibu kota ini, terbantut selepas mereka ditahan pihak polis, tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, pihaknya membuat serbuan di hotel berkenaan kira-kira jam 12 tengah malam.

"Hasil maklumat orang awam, kami membuat serbuan di lokasi berkenaan dan menahan lima lelaki dan tiga wanita berusia antara 20-an hingga 30-an.

"Kami turut merampas beberapa alat muzik serta minuman keras yang ditemui di dalam bilik hotel berkenaan," katanya ketika ditemui selepas meninjau Pusat Pemberian Vaksin Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini, hari ini.

Mohamad Zainal berkata, siasatan awal mendapati bilik hotel berkenaan ditempah salah seorang daripada lima suspek lelaki yang ditahan berusia 25 tahun.

"Hasil soal siasat dilakukan, lelaki terbabit menempah bilik hotel berkenaan pada kadar RM500 bagi satu malam untuk sambutan hari jadi.

"Susulan itu, semua suspek berkenaan yang juga penganggur dikenakan kompaun RM4,000 setiap seorang atas kesalahan melakukan aktiviti sosial dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Tindakan kompaun diambil mengikut Peraturan 17(1) Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021," katanya.

Dalam perkembangan berasingan, beliau berkata, pihaknya mengeluarkan 69 kompaun atas pelbagai kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) PKP bagi tempoh 1 Jun lalu hingga hari ini.

"Daripada jumlah itu, 40 kompaun yang dikeluarkan membabitkan kesalahan melakukan aktiviti sosial seperti parti persendirian serta sambutan hari jadi termasuk lapan individu yang ditahan tengah malam tadi.

"Selain itu, ada juga kompaun yang dikeluarkan kerana kesalahan tidak membuat imbasan MySejahtera serta tidak memakai pelitup muka.

"Orang ramai dinasihatkan supaya mematuhi SOP PKP ditetapkan bagi mengelak dikenakan tindakan kompaun selain mengawal penularan Covid-19," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Jun 2021 @ 1:36 PM