FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Wartawan HM

Kuala Lumpur: Dua pegawai polis yang pernah ditahan berkaitan Geng Nicky sebelum ini ditahan sekali lagi kerana menyertai aktiviti sosial di sebuah hotel mewah di ibu kota, kelmarin.

Pegawai berpangkat Deputi Superintendan (DSP) dan Inspektor itu antara empat anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang ditahan dalam serbuan di dua bilik hotel berkenaan pada 2 pagi.

Dua lagi yang ditahan adalah pegawai polis berpangkat Inspektor dan seorang konstabel polis.

Menurut sumber, pegawai polis berpangkat DSP dan Inspektor masing-masing berusia 40 tahun itu pernah ditahan Polis Kontinjen Johor selepas dikaitkan dengan sindiket Geng Nicky.

"Mereka ditahan hujung April lalu menerusi Ops Pelican Fasa 2 membabitkan penahanan seramai 10 pegawai kanan polis dari pelbagai jabatan.

"Mereka ditahan kerana disyaki bersekongkol dengan sindiket Geng Nicky," katanya.

Polis Johor sebelum ini membongkar kes jenayah terancang antarabangsa merangkumi Macau Scam dan pengubahan wang haram didalangi ahli perniagaan dalam buruan, Datuk Seri Nicky Liow Soon Hee selain penahanan 12 pegawai agensi penguat kuasa menerusi Op Pelican 3.0.

Mengenai serbuan dilakukan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi itu, seramai 32 individu ditahan membabitkan 20 orang awam, lapan warga asing dan empat anggota PDRM terbabit.

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Datuk Zamri Yahya yang dihubungi Harian Metro mengesahkan penahanan tiga pegawai dan seorang anggota itu.

Menurutnya, siasatan menyeluruh akan dilakukan kerana mereka bukan saja melanggar arahan Sekatan Pergerakan Penuh (SPP) tetapi juga menyertai aktiviti sosial itu.

"Sudah tentu mereka berempat akan dikenakan tindakan tatatertib," katanya.

Semalam Harian Metro melaporkan, empat penjawat awam antara 32 individu yang ditahan selepas dipercayai menyertai parti persendirian dalam serbuan di dua bilik hotel di Jalan Pinang, di sini, awal pagi Ahad.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah dilaporkan berkata, siasatan awal mendapati parti berkenaan dianjurkan penjawat awam yang menempah bilik hotel itu.

Beliau berkata, 20 daripadanya dikompaun RM2,000 setiap seorang, manakala lapan warga asing serta empat penjawat awam disiasat mengikut dibuka Seksyen 21A Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Tindakan kompaun diambil mengikut Peraturan 17(1) Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021 kerana melakukan aktiviti sosial dan perhimpunan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Selain itu, kes juga disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 susulan penemuan satu paket dadah di lokasi terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Jun 2021 @ 2:34 PM