ANTARA individu yang ditahan dalam serbuan Op Parti Liar di Jalan Ampang, Kuala Lumpur pada 5 Jun lalu. FOTO ihsan Polis
ANTARA individu yang ditahan dalam serbuan Op Parti Liar di Jalan Ampang, Kuala Lumpur pada 5 Jun lalu. FOTO ihsan Polis
Nurul Hidayah Bahaudin


TIGA remaja bawah umur dan empat penjawat awam antara 24 individu ditahan dalam serbuan Op Parti Liar di Jalan Ampang, Kuala Lumpur kelmarin.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Rajab Ahad Ismail berkata, dalam serbuan 11.20 malam itu, semua yang ditahan termasuk tiga wanita warga asing berusia 14 hingga 40 tahun.

Katanya, polis turut merampas 11 pil disyaki ekstasi seberat 4.3 gram, satu paket dadah dipercayai ganja (3.6 gram) dan dua peket disyaki ketamin (1.8 gram) dianggarkan bernilai RM420," katanya dalam kenyataan, hari ini.

"Siasatan awal mendapati seorang daripada suspek menyewa kediaman itu dengan harga RM250 satu malam.

"Dadah yang dirampas dipercayai dibawa masuk oleh individu hadir di parti berkenaan yang dijemput melalui aplikasi WhatsApp dan panggilan telefon.

"Hasil ujian saringan awal air kencing dilakukan mendapati 20 suspek yang ditahan positif dadah," katanya.

Rajab berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 6 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama.

"Semua suspek warga tempatan dikenakan kompaun bayaran RM1,000 atas kesalahan ingkar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mengikut Peraturan 15, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan 2020).

"Bagi suspek bukan warga negara pula, mereka ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tiada dokumen perjalanan diri yang sah," katanya.

Katanya, semua suspek direman selama empat hari bermula semalam hingga 9 Jun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Jun 2020 @ 1:47 PM