Foto hiasan
Foto hiasan
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Pasukan khas operasi pematuhan menahan 982 individu yang dikesan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semalam.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, seramai 933 individu dikenakan tindakan kompaun, manakala 49 lagi direman.

"Antara kesalahan direkodkan adalah tidak memakai pelitup muka (222), gagal merekod butiran diri atau daftar masuk premis (150), rentas negeri atau daerah tanpa kebenaran dan makan di premis (133).

"Kesalahan lain adalah tiada penjarakan fizikal (125), membawa penumpang berlebihan (105), tidak patuh arahan kawalan pergerakan (89), premis gagal patuhi arahan (23) dan lain-lain kesalahan (135)," katanya dalam kenyataannya hari ini.

Menurutnya, Op Benteng pada semalam pula menahan 27 pendatang asing tanpa izin (Pati) dan merampas dua kenderaan darat.

Katanya, sebanyak 208 bot dan kapal turut dikesan di perairan negara dalam operasi yang sama melalui tujuh aktiviti penglihatan.

Semeentara itu, beliau berkata, seramai 595 individu tiba di semua pintu masuk antarabangsa dan dikuarantin di stesen kuarantin di seluruh negara.

"Semalam juga, seramai 101 warga asing menjalani ujian saringan dan dua kes positif Covid-19 direkodkan.

"Secara kumulatif, Kementerian Sumber Manusia (KSM) memaklumkan seramai 698,433 pekerja warga asing sudah menjalani ujian saringan Covid-19 membabitkan 36,159 majikan.

"Daripada jumlah itu, seramai 10,332 orang disahkan positif Covid-19," katanya.

Menurutnya, beliau menasihati orang ramai supaya amalkan kawalan kendiri dengan kekal di rumah dan mengamalkan gaya hidup sihat bersama keluarga dalam lingkungan kawasan rumah sendiri.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Jun 2021 @ 6:59 PM