Foto hiasan
Foto hiasan
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Hari keempat pelaksanaan sekatan pergerakan penuh dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 mencatatkan seramai 952 individu ditahan kerana ingkar prosedur operasi standard (SOP) di seluruh negara semalam.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, seramai 870 individu dikompaun, manakala 81 lagi direman dan seorang dijamin.

"Kesalahan tertinggi yang direkodkan adalah tidak memakai pelitup muka membabitkan 252 individu diikuti gagal mendaftar masuk premis membabitkan 176 individu.

"Selain itu, seramai 116 individu ditahan kerana rentas negeri atau daerah tanpa kebenaran dan makan di premis, tidak patuh arahan kawalan pergerakan (110), membawa penumpang berlebihan (98), tiada penjarakan fizikal (84), premis gagal patuhi arahan (10) dan lain-lain (106)," katanya dalam kenyataannya hari ini.

Menerusi Op Benteng pula, Ismail Sabri berkata, seramai 16 orang pendatang asing tanpa izin (Pati) ditahan dan lapan bot serta kapal dirampas.

Katanya, dalam operasi sama sebanyak 228 bot dan kapal turut dikesan di perairan negara melalui lapan aktiviti penglihatan.

Selain itu, beliau berkata, seramai 869 individu tiba di semua pintu masuk antarabangsa semalam dan kesemuanya dikuarantin di stesen kuarantin seluruh negara.

"Secara kumulatif, sejak 24 Julai tahun lalu hingga semalam, seramai 218,914 individu pulang ke tanah air dan kesemua ditempatkan di 75 hotel serta 12 institut latihan awam (ILA) termasuk institut pengajian swasta," katanya.

Beliau berkata, hasil 62 ujian saringan wajib yang dilakukan ke atas pekerja asing semalam pula mendapati tiada kes positif Covid-19 baharu direkodkan.

Katanya, secara kumulatif Kementerian Sumber Manusia (KSM) melakukan ujian saringan kepada seramai 698,332 pekerja warga asing yang membabitkan 36,159 majikan dengan 10,330 orang disahkan positif Covid-19.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Jun 2021 @ 6:50 PM