SEKATAN jalan raya. FOTO arkib NSTP
SEKATAN jalan raya. FOTO arkib NSTP
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Seramai 907 individu ditahan atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menerusi operasi pematuhan, semalam.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, seramai 877 individu dikompaun manakala 28 direman dan dua lagi dijamin.

"Antara kesalahan direkodkan ialah tidak memakai pelitup muka membabitkan 208 individu diikuti seramai 148 individu gagal merekod butiran diri atau daftar masuk premis.

"Kesalahan lain adalah rentas negeri atau daerah tanpa kebenaran dan makan di premis (147); tiada penjarakan fizikal (123); tidak mematuhi arahan kawalan pergerakan (81); membawa penumpang berlebihan (79); aktiviti pusat hiburan (28); premis gagal patuh arahan (10) dan lain-lain kesalahan (83)," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ismail Sabri berkata, Operasi Benteng semalam merampas dua kenderaan darat dan sebuah bot.

Katanya, dalam operasi sama, sebanyak 75 bot dan kapal turut dikesan di perairan negara melalui 18 aktiviti penglihatan.

Selain itu, katanya, seramai 548 individu tiba di semua pintu masuk antarabangsa dan dikuarantin di stesen kuarantin seluruh negara.

"Semalam juga, seramai 119 warga asing menjalani ujian saringan dan tiada kes positif Covid-19 direkodkan.

"Secara kumulatifnya, Kementerian Sumber Manusia (KSM) memaklumkan seramai 698,7531 pekerja warga asing menjalani ujian saringan Covid-19 membabitkan 36,212 majikan. Daripada jumlah itu, 10,349 orang disahkan positif," katanya.

Beliau menasihati orang ramai supaya terus mengamalkan kawalan kendiri dengan kekal di rumah dan gaya hidup sihat bersama keluarga dalam lingkungan kawasan rumah sendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Jun 2021 @ 7:01 PM