Zuliaty Zulkiffli


Changlun: Berkumpul sambil bermain mahjong dalam sebuah rumah di Taman Resak, di sini, menyebabkan 14 individu termasuk seorang lelaki warga emas ditahan, semalam.

Dalam serbuan pada 5 petang itu, mereka yang terdiri 10 lelaki dan empat wanita berusia 24 hingga 73 tahun itu sedang asyik bermain judi.

Difahamkan, rumah itu dipercayai menjadi markas perjudian kerana kedudukannya yang terlindung dengan pagar zink dan tembok batu untuk mengaburi pihak berkuasa.

Malah, seorang daripada mereka yang ditahan memberi alasan bosan duduk di rumah kerana hanya makan dan tidur tidur berikutan Sekatan Pergerakan Penuh (SPP).

Dalam serbuan itu, polis turut merampas pelbagai barang termasuk wang tunai yang disyaki digunakan untuk aktiviti perjudian.

Sebahagian dari 14 individu yang ditahan polis kerana berkumpul dan bermain judi mahjong di sebuah rumah di Taman Resak, Changlun. FOTO IHSAN PDRM
Sebahagian dari 14 individu yang ditahan polis kerana berkumpul dan bermain judi mahjong di sebuah rumah di Taman Resak, Changlun. FOTO IHSAN PDRM

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Rodzi Abu Hassan berkata, serbuan dilakukan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu bersama anggota Balai Polis Changlun.

Katanya, mereka yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Peraturan 17(1) Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPDPP) 2020.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Jun 2021 @ 3:22 PM