GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Abnor Hamizam Abd Manap
am@hmetro.com.my


Jempol: Alasan mahu membeli makanan dan pasir kucing, membeli baja menyebabkan empat individu termasuk tiga peneroka dikompaun RM5,000 setiap seorang kerana merentas negeri tanpa kebenaran.

Ketua Polis Daerah Jempol Superintendan Hoo Chang Hook berkata, kesemua mereka yang berusia dari 38 hingga 68 tahun itu ditahan polis yang menjalankan tugas pemantauan di jalan Felda Palong Enam, pada 1.35 tengah hari semalam.

Katanya kesemua individu berkenaan dari Felda Palong Timur, Segamat dan mahu ke Pusat Bandar Felda Palong 4,5 dan 6.

"Alasan tidak munasabah selain tiada surat kebenaran rentas negeri menyebabkan kesemua mereka dikompaun.

"Lokasi kompaun pula bukan laluan tikus, sebaliknya laluan utama antara dua lokasi berkenaan," katanya.

Chang Hook berkata, berikutan tiada sekatan jalan raya di laluan berkenaan, polis akan mengadakan pemantauan lebih kerap bagi memastikan tiada pergerakan rentas negeri dilakukan penduduk.

Katanya kesemua individu berkenaan merentas negeri secara berasingan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Jun 2021 @ 9:23 AM