FOTO HIASAN. FOTO Arkib NSTP
FOTO HIASAN. FOTO Arkib NSTP
Abnor Hamizam Abd Manap


Jempol: Beri alasan kononnya mahu membeli makanan kucing selain ada antaranya mendakwa mahu membeli baja tanaman.

Itu antara dakwaan empat individu termasuk tiga peneroka yang dikenakan kompaun RM5,000 setiap seorang kerana merentas negeri tanpa kebenaran ketika Sekatan Pergerakan Penuh (SPP).

Ketua Polis Daerah Jempol Superintendan Hoo Chang Hook berkata, kesemua individu terbabit berusia antara 38 hingga 68 tahun itu ditahan polis yang melakukan tugas pemantauan di jalan FELDA Palong Enam di sini, bermula jam 1.35 tengah hari kelmarin.

Katanya, kesemua individu berasal dari FELDA Palong Timur, Segamat itu mendakwa mahu menuju ke Pusat Bandar FELDA Palong 4, 5 dan 6.

"Alasan tidak munasabah selain tiada surat kebenaran rentas negeri menyebabkan kesemua mereka dikenakan kompaun.

"Lokasi mereka ditahan bukanlah laluan tikus sebaliknya laluan utama antara dua lokasi berkenaan," katanya.

Chang Hook berkata, pihak polis akan mengadakan pemantauan lebih kerap bagi memastikan tiada pergerakan rentas negeri dilakukan penduduk.

Katanya, kesemua individu terbabit merentas negeri secara berasingan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Jun 2021 @ 4:12 PM