LELAKI dikompaun RM5,000 selepas rentas negeri dari Keratong, Pahang ke Jempol, Negeri Sembilan tanpa kebenaran. FOTO ihsan PDRM
LELAKI dikompaun RM5,000 selepas rentas negeri dari Keratong, Pahang ke Jempol, Negeri Sembilan tanpa kebenaran. FOTO ihsan PDRM
Abnor Hamizam Abd Manap


Jempol: Beri alasan mahu membeli barang keperluan di Bandar Seri Jempol, namun pergerakannya melebihi 45 kilometer dari kediaman di Kampung Orang Asli Bukit Serok, Keratong, Pahang.

Tindakan lelaki berusia 32 tahun itu menyebabkan dia dikompaun RM5,000 selepas didapati melakukan rentas negeri tanpa kebenaran selepas ditahan polis di Jalan Besar Serting Hilir pada 12.35 tengah hari, hari ini.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook berkata, pemandu kereta itu pada mulanya mendakwa tinggal di Felda Serting Hilir, namun gagal memberi maklumat terperinci seperti alamat rumah dan nombor blok sebaik diminta.

Beliau berkata, lelaki itu sekali lagi cuba memperdaya polis dengan memberitahu bekerja di Kilang Sawit Serting Hilir, namun gagal menyerahkan dokumen berkaitan apabila diminta.

"Polis membuat semakan dengan penyelia kilang terbabit dan mendapati lelaki itu bukan pekerja di kilang itu.

"Lelaki itu memberikan pelbagai alasan tidak munasabah menyebabkan dia dikompaun RM5,000," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Jun 2021 @ 6:49 PM