POLIS ketika mengadakan pemantauan di Kilometer 2 Jalan Bahau- Rompin. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap
POLIS ketika mengadakan pemantauan di Kilometer 2 Jalan Bahau- Rompin. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap
Abnor Hamizam Abd Manap

Jempol: Gara-gara menemani seorang rakan, seorang lelaki berusia 37 tahun 'terbang' RM5,000 kerana melakukan pergerakan rentas daerah tanpa kebenaran.

Ketua Polis Daerah Jempol Superintendan Hoo Chang Hook berkata, lelaki terbabit ditahan di Kilometer 2 Jalan Bahau - Rompin pada jam 2.30 petang semalam ketika polis mengadakan pemantauan di laluan berkenaan.

Katanya ketika pemeriksaan, lelaki itu yang juga penumpang kereta tidak memiliki sebarang dokumen kebenaran rentas daerah dari Simpang Pertang, Jelebu menuju ke Kok Foh, Jempol.

"Lelaki itu memberi alasan mahu menemani rakannya manakala pemeriksaan mendapati rakannya yang juga pemandu kereta mempunyai surat kebenaran bekerja.

"Berikutan itu polis mengeluarkan kompaun RM5,000 terhadap lelaki terbabit mengikut Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988," katanya.

Chang Hook berkata di lokasi sama, seramai tujuh individu turut dikompaun RM2,000 kerana kerana gagal mematuhi Prosedur Operasi Standard ( SOP ) Majlis Keselamatan Negara ( MKN ).

Katanya ia membabitkan kesalahan gagal memastikan jumlah penumpang dalam kenderaan persendirian seperti SOP ditetapkan.

" Menaiki kenderaan persendirian melebihi dua orang antara kesalahan yang menyebabkan kesemua mereka dikompaun mengikut akta yang sama," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Julai 2021 @ 6:14 PM