Rina Mohd Harun
Rina Mohd Harun
BERNAMA

Melaka: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) berharap kajian penggunaan vaksin Covid-19 dalam kalangan kanak-kanak berusia 12 hingga 17 tahun dapat disegerakan bagi melindungi golongan itu.

Menterinya Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, ia susulan kes positif Covid-19 membabitkan kanak-kanak di negara ini amat membimbangkan, selain ada antara mereka dilaporkan maut akibat jangkitan wabak berkenaan.

"Kita berharap kajian vaksin untuk kanak-kanak ini dapat disegerakan kerana kita lihat di negara luar sudah ada yang memberi vaksin untuk golongan berusia 12 tahun ke atas seperti di Singapura dan Amerika Syarikat.

"Usaha ini bertujuan mengurangkan risiko jangkitan Covid-19 dalam kalangan kanak-kanak sekali gus melindungi golongan berkenaan," katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh, di sini hari ini.

Untuk rekod seramai 147 pesakit kanak-kanak ditempatkan di PKRC MITC setakat ini dan daripada jumlah itu, 99 daripadanya berusia 12 hingga 17 tahun dan 48 lagi berusia 12 tahun ke bawah.

Terdahulu Rina yang diiringi Exco Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan Melaka, Datuk Latipah Omar dan Pengarah PKRC MITC Dr Abdul Karim Abdul Rahman turut menyampaikan sumbangan berupa mainan untuk kanak-kanak di pusat berkenaan.

Sebelum ini, media melaporkan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata sehingga 30 Mei lalu, seramai 82,341 kanak-kanak dan bayi dijangkiti Covid-19.

Daripada jumlah itu, sebanyak 19,851 kes membabitkan golongan berusia daripada 0 hingga 4 tahun; 8,237 kes (5 hingga 6 tahun); 26,851 kes (7 hingga 12 tahun) serta 27,402 kes (13 hingga 17 tahun) dan mereka adalah pesakit Covid-19 kategori 1, 2 dan 3.

Sementara itu, Rina menyeru ibu bapa agar terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan selain melatih anak-anak mempraktikkan amalan 3W (cuci tangan, pakai pelitup muka dan peringatan) dan elak berada di tempat sesak serta mematuhi penjarakan fizikal.

"Kita juga berharap lebih banyak rancangan atau program khas kanak-kanak disiarkan televisyen sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan agar mereka tidak berasa bosan… kadangkala bila di rumah ramai anak-anak, mulanya bergurau kemudian bertelagah," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Jun 2021 @ 4:13 PM