GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Sabah mencatat rekod apabila baru seorang sahaja kanak-kanak lengkap dua dos suntikan vaksin Covid-19 manakala 62,851 lagi menerima satu dos suntikan setakat kelmarin.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata, jumlah kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun yang tampil menerima vaksin setakat ini hanya kira-kira 15.2 peratus daripada keseluruhan jumlah golongan berkenaan di Sabah.

Katanya, kelmarin saja, 1,591 kanak-kanak menerima vaksin Covid-19 menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) di seluruh negeri.

"Penduduk Sabah yang menerima vaksin pada 6 Mac 2022 berdasarkan data daripada PICK Sabah adalah 10,041 orang.

"Daripada jumlah ini, 8,365 adalah penduduk dewasa, 90 remaja dan 1,591 kanak-kanak," katanya pada kenyataan malam tadi.

Menurut beliau, jumlah penduduk Sabah yang sudah menerima dua dos lengkap vaksin setakat 6 Mac lalu adalah 2,414,319 orang.

Daripada jumlah itu, 2,100,462 orang atau 77.32 peratus adalah penduduk dewasa.

"Bagi kanak-kanak pula, 62,851 orang atau 15.28 peratus sudah menerima satu dos vaksin manakala seorang kanak-kanak sudah lengkap dos vaksin setakat semalam (kelmarin)," katanya.

Semalam, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin Abu Bakar menggesa ibu bapa di Sabah supaya tampil membawa anak-anak mendapatkan vaksin memandangkan Sabah antara negeri terendah vaksinasi kanak-kanak setakat ini.

Sementara itu, Sabah semalam mencatat 1,235 kes baharu Covid-19, turun 280 kes berbanding 1,515 kes yang dilaporkan kelmarin.

Lima kematian dilaporkan iaitu dua kes di Ranau dan masing-masing satu kes di Keningau, Kalabakan dan Kuala Penyu.

Seramai 3,494 pesakit pula dilaporkan sembuh semalam, manakala 1,313 pesakit sedang menerima rawatan di hospital dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC), termasuk 60 orang memerlukan penjagaan kritikal.

"Seramai 18 bayi berumur bawah setahun dan 55 kanak-kanak berumur setahun hingga empat tahun yang belum layak divaksin dijangkiti Covid-19 di Sabah semalam.

"Semalam juga, 64 kanak-kanak berumur lima tahun hingga 11 tahun, kebanyakannya belum mendapat vaksin, turut dijangkiti Covid-19," katanya.

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Mac 2022 @ 1:05 PM