ELAK bawa anak ke tempat sesak.
ELAK bawa anak ke tempat sesak.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


Kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) yang diumumkan kerajaan baru-baru ini membuatkan ramai ibu bapa menarik nafas lega.

Apa tidaknya, selepas sekian lama terkurung tanpa dapat melakukan aktiviti riadah, kanak-kanak pastinya antara yang paling gembira jika berpeluang keluar dari rumah.

Namun, tidak semua bersetuju jika ibu bapa membawa anak mereka keluar untuk beriadah.

Ini memandangkan kes positif harian Covid-19 masih tinggi selain varian Delta yang sedang mengganas.

Begitupun, di Lembah Klang umpamanya, beberapa lokasi tumpuan seperti Putrajaya, taman awam dan kawasan pantai sudah mulai sesak dengan kunjungan orang ramai.

Ada yang sekadar membawa keluarga bersiar-siar dan ada juga yang mengambil peluang untuk berkelah.

Biarpun teruja namun ibu bapa seharusnya perlu berwaspada dengan menjauhi tempat sesak atau kawasan tertutup, memakai pelitup muka, sentiasa mencuci tangan dan ikut SOP yang ditetapkan kerajaan.

Usah leka kerana kanak-kanak juga antara golongan yang berisiko selain warga emas dan pesakit kronik.

Ibu bapa juga diminta tidak membawa ahli keluarga daripada golongan itu terutama anak-anak yang berusia kurang 12 tahun ke tempat awam seperti pasar raya atau pusat beli-belah.

Ini kerana sejak kebelakangan ini, jumlah kanak-kanak yang dimasukkan ke hospital akibat Covid-19 menunjukkan peningkatan ketara.

Pakar perubatan mempercayai ia ada kaitan dengan penularan varian Delta yang semakin dominan di negara ini.

Perunding pakar kardiologi pediatrik Prof Madya Dr Norazah Zahari sebelum ini berkata, perkembangan itu, khususnya dalam tempoh beberapa bulan lalu, menyebabkan satu tingkat di Kompleks Kesihatan Wanita dan Kanak-Kanak, Pusat Perubatan Universiti Malaya diperuntukkan bagi merawat kanak-kanak bergejala Covid-19, berbanding hanya satu wad sebelum ini.

Kata Dr Norazah, ada beberapa kes yang dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU), mereka mengalami komplikasi jantung akibat jangkitan Covid-19.

SENTIASA amalkan SOP yang ditetapkan.
SENTIASA amalkan SOP yang ditetapkan.

"Satu daripada kes itu disahkan sebagai sindrom keradangan pelbagai sistem pada kanak-kanak (MIS-C).

"MIS-C adalah komplikasi Covid-19 yang serius, iaitu suatu keadaan yang mana keradangan berlaku pada pelbagai organ seperti jantung, paru-paru, pembuluh darah dan buah pinggang.

"Sekalipun kemungkinan untuk kanak-kanak mengalami gejala Covid-19 yang teruk adalah kecil, jelas mereka tidak kebal jangkitan itu," katanya.

Pada Mei lalu, kerajaan melaporkan bahawa Malaysia merekodkan seramai 82,341 kanak-kanak dan bayi dijangkiti Covid-19.

Daripada jumlah itu, katanya, 19,851 kes membabitkan golongan berusia daripada 0 hingga 4 tahun, 8,237 (5 hingga 6 tahun), 26,851 (7 hingga 12 tahun) serta 27,402 (13 hingga 17 tahun) dan mereka adalah pesakit Covid-19 kategori 1, 2 dan 3.

Sementara itu, Pakar Pediatrik Hospital Pakar Kuala Terengganu (KTS), Dr Mohd Zuraizi Jaafar berkata, meskipun mengikut statistik, peratusan jangkitan terhadap kanak-kanak masih rendah tetapi kadar kemasukan ke ICU semakin tinggi

"Sekiranya anda terdedah kepada jangkitan Covid-19, perhatikan keadaan anak-anak kerana meskipun kadar jangkitan kepada golongan itu masih rendah tetapi keadaan mereka lebih mudah menjadi teruk dengan pantas.

"Jika anak-anak sudah semakin kurang menyusu atau makan, kurang aktif, mulai selesema atau batuk, jangan berlengah dan terus bawa mereka ke hospital pakar seperti hospital negeri dengan kadar segera," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 September 2021 @ 6:55 AM