PROF Madya Dr Zuraida Abal Abas. FOTO Amir Mamat
PROF Madya Dr Zuraida Abal Abas. FOTO Amir Mamat
Amir Mamat


Melaka: Pensyarah Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) mengambil peluang membuat kelas tuisyen percuma kepada kanak-kanak ketika menjalani kuarantin di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC), Pusat Dagangan Antarabangsa (MITC), Ayer Keroh, baru-baru ini.

Profesor Madya Dr Zuraida Abal Abas mengambil kesempatan ketika dikuarantin empat hari bermula 8 Julai lalu dengan berkongsi ilmu dengan beberapa kanak-kanak di PKRC berkenaan yang sepatutnya mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Pensyarah Jabatan Pengkomputeran Pintar dan Analitik, Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi UTeM itu berkata, usaha itu adalah sebahagian daripada inisiatif beliau untuk memastikan kumpulan kanak-kanak itu tidak ketinggalan dalam pelajaran.

"Saya mengadakan kelas tuisyen kepada lebih 12 kanak-kanak yang berumur antara lima hingga 11 tahun dengan mewujudkan pilihan kelas tiga kali sehari iaitu pagi, petang dan malam sepanjang tempoh kuarantin.

"Saya gembira dapat menggunakan peluang yang singkat itu untuk mengajar beberapa subjek termasuk Matematik, lukisan dan mewarna.

"Mereka sangat gembira ketika mengikuti kelas tuisyen bersama saya dan sudah pasti ia menjadi kenangan terindah buat saya selamanya," katanya.

Mengulas lanjut, beliau melihat kanak-kanak berkenaan begitu bersemangat dan suka belajar walaupun mereka adalah pesakit Covid-19.

Katanya, lebih menyayat hati ada dalam kalangan mereka terdiri daripada anak yatim.

"Saya tidak mampu mengubah dunia namun saya cuba berikan yang terbaik kepada mereka selagi berpeluang dan saya yakin bahawa keberadaan kita di mana sahaja pastinya mempunyai hikmah tersendiri," katanya.

Zuraida turut berterima kasih kepada petugas PKRC MITC yang memberikan sokongan dan membantu menyediakan alatan menulis lengkap bagi melancarkan kelas kendaliannya itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Julai 2021 @ 4:33 PM