RINA ketika sidang media selepas membuat lawatan ziarah prihatin penghuni Pusat Jagaan dan Rawatan Orang Tua Al-Ikhlas di Pulau Meranti. FOTO Mohd Fadli Hamzah
RINA ketika sidang media selepas membuat lawatan ziarah prihatin penghuni Pusat Jagaan dan Rawatan Orang Tua Al-Ikhlas di Pulau Meranti. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Rafidah Mat Ruzki

Sepang: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) berharap orang kelainan upaya (OKU) dan warga emas diberikan keutamaan apabila Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dimulakan terhadap golongan rentan mulai April nanti.

Menterinya, Datuk Seri Rina Harun berkata, ia berikutan golongan itu, terutama warga emas lebih berisiko tinggi kerana tahap kesihatan rendah berbanding mereka yang muda dan sihat.

Beliau berkata, keutamaan pelalian terhadap Covid-19 dalam kalangan golongan itu akan memberi mereka peluang menjalani kehidupan seperti biasa.

"Kita tengok mereka yang dijangkiti Covid-19 ini berbeza-beza antara satu sama lain.

"Sebagai menteri yang bertanggungjawab menjaga warga emas dan OKU, sudah pasti saya perlu memastikan mereka mendapat keutamaan itu," katanya selepas melawat di Pusat Jagaan dan Rawatan Orang Tua Al-Ikhlas, di Kampung Pulau Meranti, di sini, hari ini.

Ditanya mengenai cadangan Kementerian Kesihatan (KKM) menggunakan Unit Bergerak dalam memastikan golongan rentan termasuk OKU dan warga emas terlantar tidak tercicir daripada Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Rina berkata, inisiatif itu akan lebih memudahkan pihak terbabit.

Beliau berkata, perkara itu turut dibangkitkan pihaknya dalam mesyuarat Kabinet.

Katanya, kerajaan akan cuma memudahkan pelaksanaan program itu bagi memberi pelalian terhadap rakyat di negara ini.

Selain itu, beliau berkata, isu dan perincian mengenai bagaimana pelalian terhadap Covid-19 dibincangkan dalam jawatankuasa khas mengenainya.

"Sebab itu, perkara ini juga kita bincangkan supaya institusi terbabit didahulukan kerana mereka (warga emas di rumah kebajikan) duduk dalam satu kelompok. Pendaftaran juga dibuat membabitkan golongan ini," katanya.

Rina berkata, seramai 68,003 kumpulan sasar kementerian itu terdiri 48,564 warga emas dan 19,439 OKU yang berdaftar akan diberi suntikan vaksin COVID-19 dalam Fasa 2 kelak.

Beliau berkata, 48,564 warga emas itu adalah ahli Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) dan penghuni institusi seliaan kementerian berkenaan manakala sejumlah 19,439 OKU pula, terdiri pelatih Program Pemulihan Dalam Komuniti (PDK).

Katanya, ada dua kumpulan utama dalam Fasa 2 pemberian vaksin membabitkan 9.4 juta individu dijadualkan pada April hingga Ogos nanti.

"Kumpulan utama satu terdiri baki kakitangan penjaga kesihatan serta perkhidmatan penting dan pertahanan manakala kumpulan utama dua membabitkan warga emas yang berusia 65 tahun ke atas, golongan berisiko tinggi mengalami penyakit kronik seperti penyakit jantung, obesiti, diabetis dan tekanan darah tinggi dan OKU," katanya.

Sementara itu, Rina berkata, seramai 39 warga emas iaitu 17 lelaki dan 22 wanita berlindung di pusat jagaan terbabit namun hanya dua penghuni wanita sahaja yang boleh mengurus diri manakala selebihnya dalam keadaan terlantar.

Beliau berkata, pusat jagaan itu diuruskan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terdapat daripada 18 orang pekerja.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Februari 2021 @ 4:02 PM