Mohd Zaidi (kanan) memeriksa dokumen pemandu ketika melakukan tinjauan di SJR Kepayan, Kota Kinabalu. FOTO Juwan Riduan
Mohd Zaidi (kanan) memeriksa dokumen pemandu ketika melakukan tinjauan di SJR Kepayan, Kota Kinabalu. FOTO Juwan Riduan
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Polis Kota Kinabalu mengesan pelbagai pelanggaran SOP dilakukan pengguna di sekatan jalan raya (SJR) dan tempat awam sekitar daerah ini.

Natijahnya, 13 pengguna jalan raya dikompaun manakala 30 yang lain diarah berpatah balik kerana melebihi jarak perjalanan dibenarkan dalam tempoh Sekatan Pergerakan Penuh (SPP) yang berkuat kuasa, semalam.

Manakala, 10 lagi individu dikompaun di tempat awam selepas pasukan pematuhan SOP mengesan kesalahan mereka.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, antara alasan yang diberikan pemandu adalah untuk mendapatkan barangan keperluan.

Bagaimanapun katanya, jarak yang dituju terlalu jauh sedangkan kawasan kediaman mereka mempunyai premis untuk mendapatkan bekalan diperlukan.

"Selain itu, kompaun yang dikeluarkan di SJR adalah membabitkan kesalahan melebihi kapasiti kenderaan yang dibenarkan.

"Manakala, 10 lagi kompaun pula dikeluarkan ditempat awam membabitkan kesalahan tidak memakai pelitup muka, tidak mendaftarkan diri pada Mysejahtera dan tidak mengamalkan jarak sosial ditetapkan," katanya ketika ditemui, hari ini.

Mohd Zaidi menasihatkan masyarakat supaya terus mematuhi SOP ditetapkan.

Katanya, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang melanggar SOP dalam usaha melandaikan penularan kes Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Jun 2021 @ 4:15 PM