Mohd Haris melakukan pemeriksaan ke atas pemandu dalam sekatan jalan raya di Penampang. FOTO Juwan Riduan
Mohd Haris melakukan pemeriksaan ke atas pemandu dalam sekatan jalan raya di Penampang. FOTO Juwan Riduan
Juwan Riduan


Penampang: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang akan melaksanakan penguatkuasaan pemantauan prosedur operasi standard (SOP) secara tegas sepanjang sekatan pergerakan penuh (SPP) fasa pertama bermula hari ini sehingga 14 Jun depan.

Pemantauan secara menyeluruh berkenaan akan membabitkan seramai 160 pegawai dan anggota di empat sekatan jalan raya (SJR) yang dibuka di daerah Penampang dan Putatan.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, penugasan ini akan dijalankan secara tegas, fokus dan ketat.

Katanya, empat SJR yang dibuka juga akan menumpukan kepada kesalahan serta pelanggaran SOP termasuk bilangan individu di dalam kenderaan, pemakaian pelitup muka dan bilangan penumpang dalam kenderaan E-hailing serta pengangkutan jalan.

"Memandangkan penugasan kali ini sudah di tahap PKP 3.0, IPD Penampang akan mengambil pendekatan lebih tegas dan memfokuskan kepada pemantauan ketat SOP.

"Bagi zon ini yang meliputi daerah Kota Kinabalu, Penampang dan Putatan, kita akan memastikan empat SJR di daerah ini akan menumpukan kepada kesalahan serta pelanggaran SOP," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melakukan tinjauan di salah satu SJR di Jalan Penampang-Kota Kinabalu di sini, hari ini.

Katanya, pihaknya juga akan terus mengeluarkan kompaun terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar dan mengingkari SOP.

"Kita akan terus memberikan kompaun kepada mereka yang ingkar dan melanggar SOP ditetapkan selaras arahan Ketua Polis Negara.

"Sehubungan itu, kita menasihati masyarakat supaya sentiasa mematuhi SOP kerana kita tidak mahu membebankan mana-mana pihak sepanjang PKP kerana nilai kompaun yang diberikan amat tinggi," katanya.

Mohd Haris berkata, semua penduduk di daerah Penampang dan Putatan juga diharap dapat mematuhi arahan dikeluarkan sepanjang tempoh PKP ini dalam usaha mengurangkan penularan Covid-19.

"Saya juga menasihatkan masyarakat supaya duduk di rumah jika tiada sebarang urusan serta keperluan muastahak dan bagi mereka yang keluar bekerja pula, sila patuhilah SOP sepenuhnya untuk mengelakkan penularan Covid-19," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Jun 2021 @ 8:00 PM