NOOR Azmi memberikan suntikan kepada Muhammad Nur Iman Hishamuddin,16, pelajar SABK Maahad Al Ridzwan di PPV. FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
NOOR Azmi memberikan suntikan kepada Muhammad Nur Iman Hishamuddin,16, pelajar SABK Maahad Al Ridzwan di PPV. FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


Bagan Serai: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyambut baik cadangan orang ramai yang meminta pengendali aplikasi MySejahtera mengaktifkan penggera (notification) secara berulang-ulang selepas lebih 30 minit mendaftar masuk bagi memperingatkan pengguna aplikasi itu untuk mendaftar keluar.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, ia cadangan yang baik kerana ramai pengguna yang terlupa berbuat demikian selepas mendaftar masuk.

"Memang diakui butang daftar keluar yang diwujudkan MySejahtera sebenarnya membebankan ramai pengguna kerana ramai yang terlupa.

"Bagaimanapun, pengguna tidak perlu bimbang kerana jika pengguna terlupa mendaftar keluar dan pada masa sama mendaftar masuk di tempat lain, secara automatiknya, pendaftaran di tempat awal terbatal dengan sendirinya," katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) sementara di Sekolah Menengah Kebangsaan Abu Bakar Al-Baqir di sini, hari ini.

Dr Noor Azmi berkata, pihaknya akan berhubung dengan pengendali MySejahtera untuk membincangkan idea berkenaan.

Berhubung Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (Pick) Remaja, Dr Noor Azmi berkata, pihaknya menyasarkan 60 peratus pelajar menerima suntikan lengkap pada November manakala 80 peratus pada akhir Disember ini.

"Berdasarkan statistik, jumlah pelajar di negara ini ialah 2,535,165 dan 681,853 (26.9 peratus) sudah menerima suntikan dos pertama manakala 108,935 (4.3 peratus) sudah melengkapkan vaksinasi," katanya.

Pada masa sama, Dr Noor Azmi menegaskan, ibu bapa atau penjaga tidak perlu bimbang kesan suntikan vaksin terhadap pelajar.

Menurutnya, ada dalam kalangan ibu bapa serta penjaga bimbang kesan sampingan terhadap miokarditis (radang pada otot jantung) dan pericarditis (penyakit radang selaput jantung) akibat suntikan vaksin.

"Setakat ini, vaksin Pfizer yang disuntik pada penerimanya tidak mempunyai kesan sampingan yang besar.

"Malah menerima suntikan vaksin jauh lebih baik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 September 2021 @ 3:06 PM