Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz
Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz
BERNAMA

Kuala Lumpur: Kerajaan berharap momentum positif pada program ePenjana dapat terus dikekalkan melalui program eBelia yang dilancarkan hari ini sebagai kesinambungan kepada usaha kerajaan dalam memacu peralihan digitalisasi kewangan.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, ePenjana yang dilaksanakan pada tahun lepas menyaksikan pendaftaran empat juta pengguna e-dompet baharu dan lebih 36,000 peniaga mendaftar dengan penyedia e-dompet.

"Kini, pelbagai aspek kehidupan harian kita telah beralih kepada aplikasi digital bagi mempermudah dan mempercepatkan pelbagai perkara.

"Ini termasuklah cara kita membuat pembelian sama ada menerusi platform dalam talian atau di kedai-kedai melalui bayaran tanpa tunai," katanya dalam ucapan pelancaran program eBelia secara maya hari ini.

Beliau berkata melalui tinjauan umum, didapati orang ramai menggunakan lebih daripada satu e-dompet.

"Penyedia perkhidmatan e-dompet yang telibat dalam eBelia secara keseluruhannya mempunyai 30 juta pengguna aktif dan jaringan lebih satu juta peniaga di dalam dan di luar talian.

"Jaringan yang kukuh dan luas ini membolehkan program eBelia ini dilaksanakan secara menyeluruh di seluruh negara dan mencapai lebih ramai belia dan pelajar," katanya.

Memandang ke hadapan, Tengku Zafrul berkata, kerajaan juga akan tetap mengutamakan belia dalam merangka Belanjawan 2022 dan proses merangkanya telah bermula.

"Seperti tahun lalu, kita juga akan mengadakan sesi libat urus dengan golongan belia bagi merangka Belanjawan 2022," katanya.

Program eBelia merupakan antara inisiatif yang telah diumumkan di bawah Belanjawan 2021 dan bertujuan meringankan beban kewangan selain menggalakkan perbelanjaan secara tanpa tunai dalam kalangan belia serta pelajar sepenuh masa di institut pengajian tinggi tempatan berdaftar.

Program ini dijangka memberi manfaat kepada kira-kira dua juta rakyat Malaysia dengan jumlah peruntukan RM300 juta dan setiap pemohon yang layak boleh menuntut RM150 dalam bentuk kredit e-tunai.

Tempoh tuntutan kredit tersebut adalah dari 1 Jun 2021 hingga 22 Julai 2021 dan kredit tersebut boleh dibelanjakan sehingga 31 Julai 2021.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Jun 2021 @ 2:37 PM