Ramli Kasa
Ramli Kasa
Amirul Aiman Hamsuddin


Kuala Selangor: Polis membuka kertas siasatan membabitkan dakwaan seorang pemilik akaun Twitter bahawa ada anggota polis menerima suapan bagi membenarkan sebuah kilang di Bestari Jaya beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor Superintendan Ramli Kasa berkata, Bahagian Integriti dan Pematuhan Standard Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor akan menjalankan siasatan lanjut berhubung dakwaan itu.

"Susulan dakwaan terbabit, polis bersama Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Kuala Selangor, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuala Selangor, Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) dan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Kuala Selangor menjalankan pemeriksaan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) jam 3 petang, 31 Mei lalu.

"Hasil pemeriksaan mendapati terdapat kesalahan ketidakpatuhan SOP ditetapkan.

"Pihak pengurusan kilang diarahkan henti operasi kilang selama lima hari bermula semalam berpandukan (Akta 342) Seksyen 18 (1) (F) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988," katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, seorang pemilik akaun Twitter memuat naik imej tangkap layar memaparkan dakwaan pihak polis menerima suapan bagi membenarkan sebuah kilang di Bestari Jaya beroperasi dalam tempoh PKP.

Difahamkan, kenyataan itu dimuat naik jam 11.16 malam, 29 Mei lalu.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Jun 2021 @ 2:02 PM