Muhammad Sanusi Md Nor. FOTO Amran Hamid
Muhammad Sanusi Md Nor. FOTO Amran Hamid
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Menteri Besar Kedah dijangka menjalani ujian saringan Covid-19 esok, susulan kes positif membabitkan kakitangan Jabatan Penerangan negeri hari ini.

Muhammad Sanusi Md Nor menjelaskan, setakat ini beliau sudah melakukan tiga ujian saringan Covid-19 sebelum ini dan semua keputusannya adalah negatif.

"Saya diminta Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah untuk membuat saringan, memang kena buat untuk pastikan kita kekal sihat.

"Esok saya akan ke hospital untuk melakukan saringan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan berkaitan seorang jurugambar Jabatan Penerangan Negeri yang disahkan positif pandemik itu.

Isnin lalu, jurugambar terbabit hadir membuat liputan majlis penyerahan bantuan di Wisma Darul Aman, yang dihadiri Muhammad Sanusi.

Majlis itu turut dihadiri beberapa Pengerusi Jawatankuasa Negeri (Exco), pegawai kanan kerajaan, pemimpin parti dan kakitangan agensi media tempatan.

Berikutan itu, kakitangan Wisma Darul Aman, Jabatan Penerangan dan wartawan terbabit sudah diminta menjalani ujian saringan di Hospital Alor Setar hari ini.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 September 2020 @ 7:06 PM