Foto hiasan
Foto hiasan
BERNAMA

Kuala Lumpur: Sebanyak 1,240,000 dos suntikan vaksin AstraZeneca ditawarkan kepada warga emas bagi pusingan kedua inisiatif pelawaan pengambilan vaksin itu yang dibuka untuk tempahan slot janji temu pada 12 tengah hari, esok.

Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) dalam kenyataan hari ini memaklumkan pemberian suntikan itu akan dimulakan pada 7 Jun hingga 27 Julai untuk dos pertama di lapan Pusat Pemberian Vaksin AstraZeneca (PPVAZ).

PPVAZ yang terbabit ialah Pusat Konvensyen Setia SPICE, Pulau Pinang; Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, Johor Bahru; Pusat Konvensyen Borneo Kuching, Sarawak; dan Institut Kemahiran Belia Negara Miri, Sarawak.

Selain itu PPVAZ lain ialah di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur; Universiti Malaya, Kuala Lumpur; Universiti Kebangsaan Malaysia, Selangor; dan Pusat Konvensyen Ideal, Shah Alam, Selangor.

"Seperti yang diumumkan, tempahan ini hanya dibuka kepada warga emas (60 tahun ke atas) di lima negeri iaitu Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang, Johor dan Sarawak.

"Ini adalah satu daripada langkah untuk memastikan warga emas yang termasuk dalam kumpulan berisiko tinggi terus dilindungi," menurut kenyataan itu.

Mereka yang berminat boleh mula membuat tempahan di www.vaksincovid.gov.my esok.

CITF turut menggalakkan golongan muda untuk membantu warga emas dalam membuat tempahan slot janji temu pengambilan vaksin itu bagi memudahkan urusan mereka.

Menurut kenyataan itu mereka yang telah mendaftarkan nama di bawah senarai menunggu sewaktu tempahan slot pada 2 Mei lalu akan dimasukkan secara automatik ke dalam tempahan slot vaksinasi AstraZeneca pusingan ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Mei 2021 @ 8:57 PM