GAMBAR hiasan. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
GAMBAR hiasan. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Irwan Shafrizan Ismail


Kuala Lumpur: Kerajaan disaran menyegerakan dan memperbanyakkan pemberian vaksin dos pertama bagi membantu meningkatkan imuniti rakyat selain menurunkan kadar kebolehjangkitan Covid-19.

Pakar Perubatan Kesihatan Komuniti Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, pemberian dos pertama vaksin Covid-19 turut perlu dipertimbangkan kepada rakyat yang sudah mendaftar mendapatkan suntikan menerusi aplikasi MySejahtera.

"Pada masa sekarang, dicadangkan lebih banyak vaksin dos pertama diberi termasuk kepada yang mendaftar di aplikasi MySejahtera tanpa perlu menunggu fasa ketiga yang akan mengambil masa lebih lama.

"Difahamkan ramai rakyat sudah mendaftar, tetapi kerana isu bekalan dan logistik, vaksin masih belum diberi.

"Oleh kerana masa menunggu lama dan fasa kedua mungkin masih tidak penuh, jadi untuk mereka yang sudah mendaftar elok diberi kesempatan untuk divaksin.

"Pemberian oleh pihak swasta boleh membantu kerajaan pada ketika ini, selain pertimbang kebenaran untuk rakyat menerima vaksin melalui pembelian di sektor swasta seperti klinik dan hospital swasta," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kebimbangan peningkatan berterusan kes harian Covid-19 dan desakan pelbagai pihak supaya pemberian vaksin disegerakan termasuk keutamaan kepada negeri dengan kes jangkitan tinggi.

Semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yakin, sasaran imuniti kelompok sebelum akhir tahun ini akan dapat dicapai seperti dirancang.

Beliau berkata, keyakinan itu berikutan jaminan bekalan vaksin ditempah dikatakan akan sampai seperti dijadual.

Mengulas lanjut, Dr Sharifa Ezat berkata, menerusi dapatan beberapa kajian, satu dos vaksin Pfizer-BioNTech sudah mampu memberi perlindungan tinggi dengan keberkesanan hampir 85 peratus.

"Ini bermakna pemberian dos pertama dengan segera sangat digalakkan. Ini termasuk vaksin baru seperti Johnson & Johnson (J&J) dan CanSino dari China.

"Pfizer sudah menyediakan vaksin untuk kanak-kanak berusia 12 hingga 16 tahun, yang sudah dilaksanakan di Amerika Syarikat (AS), Kanada dan Singapura, jadi untuk elakkan kluster kanak-kanak sekolah, elok sekiranya strategi ini turut dilaksana di Malaysia," katanya.

Selain itu, beliau menyarankan supaya dapat diwujudkan koordinasi lebih baik tanpa berlaku pertindihan arahan dan tugas antara kerajaan negeri dan Persekutuan dalam pemberian vaksin bagi mengelak kekeliruan dalam kalangan rakyat.

"Ada rakyat keliru, mereka sudah daftar untuk vaksin di MySejahtera, tapi kenapa perlu daftar lagi untuk AstraZeneca.

"Malah, kerajaan Selangor gesa majikan daftar pula pekerja menerusi aplikasi khas kerajaan negeri. Itu yang bila dapat panggilan program imunisasi kebangsaan, ada yang tidak hadir," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Mei 2021 @ 5:36 PM