LEBIH banyak kajian perlu dilakukan berkaitan keberkesanan serta tindak balas vaksin campuran. - FOTO Google
LEBIH banyak kajian perlu dilakukan berkaitan keberkesanan serta tindak balas vaksin campuran. - FOTO Google
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


Banyak kajian perlu dilakukan untuk melihat keberkesanan dan kesan sampingan vaksin campuran sebelum kaedah itu dilaksanakan.

Pakar Perubatan Kesihatan Komuniti Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Dr Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, antara perkara yang perlu diketahui ialah adakah penerima vaksin campuran masih memerlukan suntikan tambahan (dos ketiga) selepas melengkapkan dos kedua.

Beliau berkata, ada beberapa reaksi pakar kesihatan berhubung cadangan pelaksanaan vaksin campuran.

"Laman sesawang 'Nature' menyatakan, penggunaan vaksin campuran ini dikenali sebagai strategi 'mix and match' atau 'heterologous prime and boost'.

"Kajian di United Kingdom (UK) menunjukkan dos kedua daripada jenis vaksin lain dapat meningkatkan tindak balas imun lebih baik daripada satu jenis vaksin yang sama.

"Kombinasi dua dos berlainan jenis vaksin juga tidak menunjukkan kesan sampingan yang teruk setakat ini" katanya.

Menurut Dr Sharifa Ezat, kajian daripada Universiti of Oxford pula menunjukkan, campuran dua jenis vaksin menghasilkan kesan reaksi antibodi yang lebih kuat berbanding dua vaksin daripada jenis sama.

"Beberapa negara juga sedang mengkaji kesan vaksin campuran ini berikutan isu kekurangan bekalan vaksin dan kesan sampingan teruk hasil penggunaan satu jenis vaksin sahaja.

"Contoh, Kanada mencadangkan pemberian vaksin AstraZaneca (AZ) pada dos pertama dan jenis vaksin lain untuk dos kedua.

"Sepanyol dan Jerman menawarkan vaksin Pfizer atau Moderna mRNA sebagai dos kedua kepada rakyat lebih muda di negara terbabit yang menerima dos vaksin AZ (dos pertama), berikutan kebimbangan berlaku kesan sampingan gumpalan darah," katanya.

Sementara itu, Pakar Virologi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Madya Dr Nazlina Ibrahim berkata, setakat ini, terdapat kajian awal terhadap sekitar 600 individu yang disuntik vaksin campuran AstraZeneca dan Pfizer.

Menurut Dr Nazlina, perkara penting dalam pemvaksinan adalah melihat bagaimana gerak balas imun terhasil selepas penerimaan dua jenis vaksin yang berbeza.

"Hasil kajian menunjukkan gerak balas imun adalah serupa atau lebih tinggi berbanding dua dos yang sama.

"Bermakna keberkesanan vaksin ini meningkat melalui pemberian vaksin campuran," katanya.

Menyentuh soal keselamatan, Dr Nazlina berkata, kesan sampingan adalah hampir serupa dengan penerimaan vaksin daripada jenis yang sama, tetapi tiada kesan teruk terhadap penerima direkodkan.

"Untuk keselamatan jangka panjang pula, kesan penerimaan vaksin campuran masih dipantau.

"Bagi setiap jenis vaksin, ada golongan penerima vaksin yang sesuai dan dijadikan panduan kepada individu lain yang sesuai untuk menerima vaksin terbabit.

"Contoh, vaksin AstraZeneca sesuai untuk individu yang mempunyai kesukaran menghasilkan antibodi seperti penerima organ yang didermakan (transplan) atau mengambil ubatan yang menindas sistem imun," katanya.

Kata Dr Nazlina, bagaimanapun, kajian lanjut masih perlu untuk memastikan golongan yang sesuai menerima vaksin campuran

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Julai 2021 @ 6:47 AM