SEMUA rakyat Malaysia perlu membuat pendaftaran untuk  menerima vaksin bagi mencegah Covid-19. FOTO BERNAMA
SEMUA rakyat Malaysia perlu membuat pendaftaran untuk menerima vaksin bagi mencegah Covid-19. FOTO BERNAMA
Hartini Mohd Nawi


Bermula esok, Sekatan Pergerakan Penuh (total lockdown) Fasa Pertama di seluruh negara dilaksanakan bagi tempoh 14 hari hingga 14 Jun ini.

Keputusan itu dibuat selepas mengambil kira situasi terkini penularan Covid-19 di Malaysia dengan jumlah kes harian melebihi 6,000 kes dan kes aktif melebihi 70,000 kes (ketika artikel ini ditulis).

Situasi getir ini membuktikan kepada kita betapa pentingnya pengambilan vaksin Covid-19 dalam kalangan rakyat Malaysia. Bakteria dan virus sesuatu wabak sukar untuk merebak jika sebahagian besar masyarakat dilindungi dengan vaksin.

Inilah yang dinamakan imuniti berkelompok, ia hanya boleh dicapai dengan liputan imunisasi yang tinggi. Malah, imunisasi berkenaan melindungi individu, keluarga, masyarakat dan negara.

Justeru, vaksin Covid-19 diberikan untuk mengawal penularan Covid-19 dan apabila semakin ramai mendapat vaksinasi, semakin ramai rakyat negara ini membentuk antibodi dan seterusnya mengurangkan kebarangkalian jangkitan pandemik itu yang lebih teruk.

Ia secara tidak langsung membantu melindungi golongan berisiko yang tidak layak menerima vaksin. Kini, terdapat beberapa jenis vaksin yang digunakan di Malaysia iaitu Vaksin Covid-19 mRNA keluaran Pfizer - BioNtech (Pfizer-BioNtech), Vaksin Covid - 19 viral vector keluaran AstraZeneca (AstraZeneca), Vaksin Covid-19 inactivated keluaran Sinovac (Sinovac), Vaksin Covid-19 recombinant viral vector keluaran CanSino dan Vaksin Covid-19 viral vector keluaran Gamaleya.

Vaksin Pfizer-BioNtech mula menunjukkan keberkesanan melalui peningkatan antibodi dalam badan bermula dari hari ke-12 selepas dos pertama diberikan. Pembentukan antibodi akan meningkat secara mendadak selepas pemberian dos kedua.

Sementara itu, Kebenaran Penggunaan semasa Kecemasan (EUA) untuk vaksin Sinovac pula sudah diluluskan beberapa agensi regulatori lain seperti di Mexico, Brazil, Chile, Paraguay, China, Turki, Kemboja dan Indonesia.

Begitu juga vaksin AstraZeneca yang dikembangkan melalui perkongsian antara syarikat farmasi gergasi dan Universiti Oxford.

Seperti kebanyakan vaksin Covid-19 yang lain, AstraZeneca juga memerlukan dua dos. Malah, banyak penyelidikan juga menunjukkan selang waktu yang lebih lama antara suntikan dapat menghasilkan tindak balas imun yang lebih kuat.

Jadi, usah terpengaruh dengan golongan antivaksin kerana ia lebih memburukkan lagi keadaan. Apa yang penting, tolong dapatkan berita atau maklumat sahih yang dilaporkan media massa, bukannya berita palsu yang bertebaran di laman media sosial. Malah, lebih menunjukkan kepentingan vaksin ini, Majlis Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam bersidang pada 3 Disember tahun lalu mengambil ketetapan bahawa hukum penggunaan vaksin Covid-19 adalah harus dan wajib diambil oleh golongan yang ditetapkan kerajaan.

Jika dilihat dari lain, perkembangan membanggakan dilihat apabila slot tempahan janji temu vaksin AstraZeneca secara sukarela (pusingan kedua) pada 26 Mei lalu menerusi aplikasi MySejahtera habis ditempah dalam tempoh kira-kira satu jam sebaik dibuka.

Inisiatif itu dibuka kepada rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas di lima negeri iaitu Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang, Johor dan Sarawak.

Menurut kenyataan Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF), ketika tempahan dibuka pada tengah hari 26 Mei itu, gangguan teknikal berlaku menyebabkan pengguna aplikasi MySejahtera menghadapi kesukaran mengakses beberapa butang ciri laman sesawang CITF.

Pihaknya memandang serius masalah teknikal yang dihadapi dan mengambil maklum bahawa ramai rakyat Malaysia berminat divaksin, tetapi gagal untuk membuat tempahan.

Hakikatnya kekecewaan sebilangan besar rakyat Malaysia yang terlepas peluang itu rata-rata disuarakan dalam media sosial membuktikan kesedaran pentingnya pengambilan vaksin untuk mencegah penularan Covid-19 dilihat semakin memberangsangkan.

Malah, berita gembira apabila CITF memaklumkan, mereka yang sudah mendaftar di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (Pick) akan tetap mendapat vaksin terutama apabila kadar vaksinasi ditingkatkan dalam bulan-bulan akan datang. Hingga kini (ketika artikel ini ditulis), sebanyak 11,564,724 sudah mendaftar untuk mendapatkan vaksinasi sementara 1,809,412 sudah divaksinasi. Walaupun seseorang itu sudah menerima dos lengkap vaksin, mereka masih perlu mengamalkan langkah pencegahan seperti mengamalkan 3W iaitu Wash, Wear, Warn dan mengelakkan 3C iaitu mengelakkan Confined space (Sempit), Crowded (Sesak) dan Close conversation (Sembang dekat).

Paling penting Lindung Diri, Lindung Semua!

Penulis Pengarang Berita Harian Metro

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Mei 2021 @ 7:00 AM