Anggota bomba Rembau membantu memindahkan mangsa banjir ke kawasan selamat di Kampung Sawah Lebar malam tadi. FOTO Ihsan Bomba Rembau
Anggota bomba Rembau membantu memindahkan mangsa banjir ke kawasan selamat di Kampung Sawah Lebar malam tadi. FOTO Ihsan Bomba Rembau
Mohd Amin Jalil


Rembau: Sekurang-kurangnya 30 rumah termasuk pusat tahfiz dan inap desa di sekitar daerah ini terjejas akibat banjir kilat susulan hujan lebat selama lebih tujuh jam bermula tengah hari semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD), Mohamad Najib Mustafa berkata, antara kawasan terjejas teruk termasuk Pilin, Mukim Pedas, Kampung Paya Besar, Kampung Sawah Lebar, Pedas Tengah, Kampung Tanjung Sena Hilir, Kampung Sungai Ibor, Kampung Minching, Kampung Merbau 9, Kampung Sungai Batu dan Kampung Pulau Besar.

Beliau berkata, hujan lebat luar biasa sejak tengah hari semalam menyebabkan beberapa kawasan rendah dinaiki air banjir.

"Lebih 30 rumah termasuk pusat tahfiz dan inap desa terkesan, misalnya di Kampung Pilin, ada rumah ditenggelami air, malah ada rumah dinaiki air sehingga paras lebih satu meter.

"Terdapat dua rumah dan dua inap desa di Kampung Paya Besar turut terjejas manakala enam rumah di Batu 1 dan 2, Pedas Tengah serta sebuah rumah di Jalan Minching Baru, dinaiki air," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rembau, Mohd Arif Ahmad Osasi berkata, seramai 38 orang mangsa banjir termasuk seorang orang kurang upaya (OKU) membabitkan tiga kawasan dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS), malam tadi.

Beliau berkata, seramai 26 pelajar dan guru Pusat Tahfiz Al-Hidayah di Pilin dibawa ke PPS di Masjid Pilin pada 9.30 malam selepas pusat pengajian itu dinaiki air setinggi satu meter.

"Selain itu, tiga mangsa termasuk seorang OKU berusia 58 tahun di Kampung Sawah Lebar turut dipindahkan ke tempat selamat pada 10.30 malam.

"Selain itu, sembilan lagi mangsa banjir di Kampung Sungai Radin , turut diselamatkan pada 1 pagi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Oktober 2021 @ 4:34 PM