BUAYA tembaga sepanjang tiga meter yang berjaya ditangkap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Besut menggunakan perangkap di Sungai Kerandang, Besut. FOTO IHSAN PERHILITAN
BUAYA tembaga sepanjang tiga meter yang berjaya ditangkap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Besut menggunakan perangkap di Sungai Kerandang, Besut. FOTO IHSAN PERHILITAN
Ahmad Rabiul Zulkifli


KEBIMBANGAN penduduk Kampung Kerandang, Besut selepas kemunculan seekor buaya di sawah mereka berakhir apabila reptilia itu berjaya ditangkap, hari ini.

Buaya tembaga sepanjang tiga meter itu ditangkap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Besut di Sungai Kerandang.

Buaya tembaga atau nama saintifiknya Crocodylus Porosus itu ditangkap pada jam 10 pagi tadi menggunakan perangkap khas.

Pengarah PERHILITAN Terengganu, Dr Abdul Malek Mohd Yusof berkata, perangkap itu dipasang sejak 20 Januari lalu selepas menerima aduan penduduk mengenai kehadiran buaya itu di sawah dekat kampung berkenaan.

“Buaya itu memasuki kawasan sawah penduduk menyebabkan penduduk berasa terancam dan bimbang kejadian tidak diingini berlaku.

“Kami tidak pasti punca utama buaya itu berkeliaran di sawah itu.

“Dengan tertangkapnya buaya itu penduduk terutama yang mengusahakan sawah di kampung itu berasa lega,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, buaya itu sudah dilepaskan ke sungai yang menjadi habitat asalnya.

“Sekiranya orang awam mengalami masalah yang sama, mereka perlu menghubungi PERHILITAN untuk tindakan segera,” katanya.

Keterangan gambar:

1.Buaya tembaga sepanjang tiga meter yang memasuki perangkap PERHILITAN

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Februari 2020 @ 10:30 PM