Orang awam selesai mendaftar sebagai penerima vaksin Covid-19.
Orang awam selesai mendaftar sebagai penerima vaksin Covid-19.
Mohd Amin Jalil


Seremban: Seramai 361,085 orang atau 42.5 peratus rakyat di Negeri Sembilan sudah mendaftar sebagai penerima vaksin Covid-19, setakat semalam.

Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, bagaimanapun pihaknya mendapati kawasan pedalaman di daerah Jelebu, Jempol dan Kuala Pilah termasuk perkampungan Orang Asli merekodkan jumlah pendaftaran vaksin Covid-19 yang rendah.

Katanya, perkara itu berpunca daripada masalah capaian internet yang lemah sehingga menyukarkan mereka mendaftar pengambilan vaksin Covid-19 melalui aplikasi MySejahtera.

"Kita sudah mengarahkan pegawai daerah dan kepemimpinan setempat termasuk Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) mengambil tindakan segera bagi memastikan seluruh rakyat di kawasan berkenaan mendaftar bagi pengambilan vaksin.

"Selain itu, kita juga sudah berbincang dengan Jabatan Kemajuan Orang Asli Malaysia (Jakoa) untuk mengadakan pasukan bergerak di setiap penempatan penduduk terbabit yang jauh dari Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

"Ia bagi memudahkan urusan program imunisasi dapat dilaksanakan," katanya kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco, di Wisma Negeri, di sini, hari ini.

Beliau berkata, semua penerima vaksin Covid-19 diingatkan supaya mematuhi janji temu yang sudah ditetapkan bagi memudahkan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan berjalan lancar.

"Kita minta mereka yang sudah ditetapkan temu janji penerimaan vaksin supaya mematuhi sepenuhnya bagi memudahkan petugas Kementerian Kesihatan melaksanakan tugas mereka," katanya.

Katanya, fasa kedua Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dijadual bermula 19 April ini dengan menyasar golongan berisiko seperti warga emas, individu mempunyai sejarah penyakit (komorbiditi) dan orang kurang upaya.

Dalam perkembangan lain, Aminuddin berkata, pihaknya mengingatkan peniaga dan pengunjung bazar Ramadan supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi mengelak penularan Covid-19.

Beliau berkata, sehingga kini tiada laporan diterima berhubung kesesakan berlaku di bazar Ramadan seperti mana di negeri lain.

"Bagaimanapun, saya ingin mengingatkan kepada pihak yang terbabit dengan bazar Ramadan supaya patuh kepada SOP.

"Bagi pengunjung bazar pula, jangan teruja sangat sehingga mengabaikan SOP terutama penjarakan fizikal kerana jika berlaku kesesakan boleh menimbulkan masalah dan dikhuatiri boleh mengakibatkan jangkitan Covid-19," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 April 2021 @ 4:31 PM