FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah memperkenankan solat fardu, Jumaat dan jenazah diadakan di semua masjid dan surau di empat mukim yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di negeri ini.

Bagaimanapun, had maksimum yang dibenarkan adalah 12 jemaah sahaja terdiri daripada pegawai masjid dan jawatankuasa kariah.

Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Mohd Yusop Husin berkata, Sultan Perak menzahirkan titah itu selepas menimbangkan sembah nasihat daripada Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak dan merujuk garis panduan Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta Kementerian Kesihatan (KKM).

Katanya, baginda bertitah ahli kariah lain hendaklah menggantikan solat Jumaat dengan solat Zohor di rumah masing-masing.

Menurut baginda, bilal yang bertugas hendaklah membuat pengumuman khas selepas azan iaitu "Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Azan sebentar tadi menandakan masuknya waktu solat fardu. Sehubungan itu, ahli kariah disarankan untuk mendirikan solat berjemaah bersama ahli keluarga masing-masing di rumah"

Selain itu baginda turut bertitah, tiada aktiviti keagamaan di masjid dan surau seperti kelas agama dan kuliah pengajian.

"Semua pihak diminta mematuhi pekeliling ini bagi mengurangkan risiko penularan wabak penyakit serta menetapkan pencegahan dan keselamatan bagi memastikan kesihatan awam tidak terjejas," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Mei 2021 @ 8:57 PM