GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Noor Hidayah Tanzizi


Ipoh: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah memperkenankan solat Jumaat, fardu dan solat jenazah diadakan di masjid dan surau negeri ini dalam tempoh sekatan pergerakan penuh yang berkuat kuasa esok.

Bagaimanapun, bilangan jemaah dihadkan kepada 12 individu termasuk imam dengan solat Jumaat hanya dibenarkan diadakan di masjid dan surau diri Jumaat saja.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) Datuk Seri Mohd Annuar Zaini berkata, perkenan itu dikurnia Sultan Nazrin selepas mengambil maklum sembah nasihat dari Jabatan Kesihatan Negeri (KKM) dan Majlis Keselamatan (MKN) Negeri Perak, berlandaskan nasihat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak berkuat kuasa mulai solat Subuh, esok.

"Solat Jumaat dibenarkan didirikan di masjid dan surau diri Jumaat saja dan bilangan jemaah terbatas kepada 12 orang (termasuk imam) daripada kalangan pegawai masjid atau surau diri Jumaat dan jawatan kuasa kariah.

"Solat fardu dibenarkan di masjid dan surau, maksimum 12 orang jemaah (termasuk imam) daripada kalangan pegawai masjid atau surau dan jawatankuasa kariah," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohd Annuar berkata, tempat mengadakan solat bagi jenazah yang meninggal dunia di hospital, hendaklah berpandukan nasihat pihak hospital atau pegawai kesihatan.

Katanya, untuk tempat solat bagi jenazah yang meninggal dunia di rumah, ia tertakluk kepada pilihan ahli keluarga sama ada diadakan di rumah, surau atau masjid.

"Bilangan jemaah mendirikan solat jenazah, maksimum 12 orang termasuk imam," katanya.

Beliau berkata, program pengimarahan di masjid dan surau ditangguhkan di semua premis itu, manakala untuk aktiviti pengurusan masjid dan surau ia dilaksanakan secara maya atau dalam talian.

Tambahnya, Baginda menzahirkan ingatan agar rakyat memahami tahap keseriusan penularan wabak dan turut mengambil tanggungjawab membantu usaha untuk memutuskan rangkaian jangkitan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Mei 2021 @ 2:38 PM