Aizat Sharif
am@hmetro.com.my


Padang Besar: Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) Chuping berjaya mematahkan cubaan menyeludup daun ketum ke Thailand selepas merampas 770 kilogram (kg) daun ketum dan menahan seorang lelaki dalam sebuah kenderaan pacuan empat roda di bahu jalan berhampiran kawasan ladang tebu Chuping, di sini semalam.

Komander AKSEM Perlis, Deputi Superitendan Azizan Saman berkata, dalam kejadian jam 12.40 tengah hari itu, anggota AKSEM turut menjumpai heroin seberat 27 gram (gm) yang disembunyi di papan pemuka kenderaan pacuan empat roda itu.

"Semasa menjalankan tugas cegah penyeludupan Ops Benteng di kawasan ladang tebu, Chuping itu, anggota kita ternampak sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Pajero berwarna kuning dalam keadaan mencurigakan.

"Anggota kita mengejar dan mengarahkan suspek berhenti namun pemandu kenderaan itu terus memecut laju ke arah ladang tebu menyebabkan kami terpaksa mengejar mereka.

AKSEM Chuping merampas daun ketum dan dadah jenis heroin yang disembunyikan dalam sebuah kenderaan pacuan empat roda selepas menahan pemandunya di ladang tebu, Chuping, Padang Besar. FOTO IHSAN AKSEM CHUPING
AKSEM Chuping merampas daun ketum dan dadah jenis heroin yang disembunyikan dalam sebuah kenderaan pacuan empat roda selepas menahan pemandunya di ladang tebu, Chuping, Padang Besar. FOTO IHSAN AKSEM CHUPING

"Kenderaan dipandu suspek terbabas di bahu jalan dan kita berjaya menahan pemandu kenderaan itu manakala rakannya berjaya melarikan diri," katanya kepada Harian Metro hari ini.

Katanya, selepas anggota menahan suspek berusia 40 tahun itu, satu pemeriksaan terhadap kenderaan suspek dilakukan dan pihaknya berjaya menjumpai 25 guni putih di mana di dalamnya mengandungi daun hijau disyaki daun ketum dengan anggaran berat sebanyak 770 kg bernilai RM38,500.

"Selain itu juga, pemeriksaan seterusnya turut menemui satu bungkusan plastik lutsinar yang mengandungi serbuk berwarna putih kotor yang disyaki dadah jenis heroin seberat 27 gm di bahagian ruang simpanan pada papan pemuka kenderaan itu dengan anggaran nilai RM405.

"Suspek dan barang rampasan kemudian diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Padang Besar untuk siasatan lanjut dan kesemua rampasan termasuk kenderaan pacuan empat roda itu dianggarkan bernilai RM53,905," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Mei 2021 @ 12:18 PM