BAHARI (lima kiri) bersama anggotanya menunjukkan sebahagian daripada daun ketum  yang dirampas. Eizairi Shamsudin
BAHARI (lima kiri) bersama anggotanya menunjukkan sebahagian daripada daun ketum yang dirampas. Eizairi Shamsudin
Aizat Sharif


Padang Besar: Dua lelaki ditahan selepas cuba menyeludup 20 bungkusan daun ketum 210 kilogram bernilai RM16,800 dalam kereta di kawasan Arked Niaga Padang Besar pagi tadi.

Dalam kejadian 11 pagi itu, dua lelaki berkenaan baru sahaja keluar dari kawasan Felda Rimba Mas, Chuping menggunakan kereta berwarna hitam dan bercermin gelap.

Komander Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (AKSEM) Padang Besar, Asisten Superitendan Bahari Ahmad berkata, sebaik kedua-dua suspek berusia dalam lingkungan 30an itu keluar dari kawasan Felda berkenaan di Jalan Chuping-Padang Besar, anggota AKSEM yang melakukan rondaan di jalan yang sama terserempak dengan lelaki itu dalam keadaan mencurigakan.

"Anggota kami pun mula mengekori kereta itu sejauh 10 kilometer hingga ke Padang Besar dan selama 15 minit intipan dilakukan itu didapati suspek tidak pun menyedari kehadiran kami di belakang kereta mereka," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat AKSEM Perlis di sini, tengah hari tadi.

Bahari berkata sebaik kereta suspek berhenti di kawasan Arked Padang Besar, anggota AKSEM bertindak dengan memeriksa kereta itu.

"Apabila diperiksa, kita menemui 20 bungkusan daun ketum yang diletakkan di tempat duduk penumpang belakang dan but kereta itu.

"Kita percaya bekalan daun ketum itu cuba diseludup ke Thailand melalui 'laluan tikus' di sekitar pintu sempadan Malaysia-Thailand dan kedua-dua suspek itu adalah 'runner' atau penghantar bekalan itu," katanya lagi.

Kes itu kini diserahkan kepada Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Padang Besar untuk siasatan selanjutnya dan kes disiasat di bawah Akta Racun 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 April 2016 @ 3:27 PM