PENDUDUK Gaza mula berlindung yang lebih selamat daripada serangan rejim zionis. FOTO AFP
PENDUDUK Gaza mula berlindung yang lebih selamat daripada serangan rejim zionis. FOTO AFP
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Puluhan ribu penduduk Gaza meninggalkan rumah mereka untuk berlindung di kawasan yang dianggap lebih selamat daripada serangan udara dan pengeboman rejim zionis Israel.

Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM) Nadir Al Nuri Kamarulzaman, berkata penduduk berkenaan bukannya keluar meninggalkan Gaza seperti propaganda sesetengah media pro zionis.

"Internal displacement (pergerakan dalaman) sahaja," katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Ditanya mengenai adakah bantuan luar sudah tiba di Gaza, katanya, sudah ada yang dibenarkan masuk contohnya bantuan ubat-ubatan dari Jordan.

Namun, katanya, bantuan itu masih terhad dan tidak memenuhi keperluan mangsa kekejaman zionis.

"Jordan bersempadan dengan Tebing Barat. Bantuan yang masuk dari Jordan kena masuk melalui Israel ke Gaza menerusi pintu sempadan di utara Gaza, Erez.

"Manakala, sempadan Mesir masih ditutup untuk misi bantuan ke Gaza. Laut pula dikuasai kapal tentera laut Israel," katanya.

Sementara itu, katanya, angka korban rakyat Palestin akibat serangan agresif pengeboman oleh tentera zionis Israel di Semenanjung Gaza terus meningkat kepada 227 orang.

Berkongsi maklumat terkini setakat 2 pagi hari ini (waktu Malaysia), beliau berkata, mangsa korban adalah termasuk 64 kanak-kanak, 38 wanita dan 17 warga emas.

Beliau berkata, data menerusi Kementerian Kesihatan Palestin juga menunjukkan mangsa cedera turut meningkat kepada 1,630 orang termasuk 470 kanak-kanak dan 310 wanita.

Sementara itu, dalam saluran Telegramnya, beliau berkongsikan status seorang ayah di Gaza di media sosial dengan gambar penuh emosi iaitu; "saya melakukan perkara paling pelik hari ini - saya bertukar anak dengan abang saya. Saya mengambil dua anaknya, dan memberinya dua anak saya.

"Jadi sekiranya saya dibom, salah seorang daripada anak saya akan hidup dan jika dia dibom, salah seorang daripada anaknya akan hidup."

Nadir mengulas status itu bahawa tiada seorang pun yang sepatutnya terpaksa membuat keputusan sedemikian dalam hidup.

"Semoga Allah melindungi mereka, Amin," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Mei 2021 @ 5:31 PM