GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Juwan Riduan


Beaufort: Lelaki maut dipercayai akibat renjatan elektrik ketika membuat kerja penyambungan bekalan elektrik di rumah mentuanya di Kampung Bundu, Kuala Penyu, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 6.25 petang itu, mangsa, Liew Kok Phin, 29, sebelum itu dikatakan sedang menggunakan alat pemateri untuk membuat kerja penyambungan.

Mangsa dipercayai terjatuh selepas terkena renjatan elektrik dari alat pemateri yang digunakan.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Azmir Abd Razak berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 9.18 malam.

"Ketika kejadian, bapa mentuanya sedang sakit dan berada di wad Hospital Kuala Penyu.

"Mangsa ketika itu bersama dua anak yang masih kecil iaitu berusia satu dan tujuh tahun manakala isterinya berada di hospital sedang menjaga bapa yang sakit," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Azmir berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan yang hadir ke lokasi.

"Kematian mangsa diklasifikasikan sebagai mati mengejut akibat renjatan elektrik.

"Siasatan masih diteruskan dan tiada unsur-unsur jenayah berlaku," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 April 2021 @ 11:28 AM