GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Baharom Bakar


Kuala Terengganu: "Harapkan panas hingga ke petang, tetapi hujan pula di tengah hari, harapkan kes positif Covid-19 semakin menurun, tetapi meningkat secara mendadak sehari selepas penurunan," kata Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Terengganu, Dr Alias Razak.

Beliau berkata, kes positif Covid-19 hanya mencatatkan sebanyak 58 kes Ahad lalu, tetapi meningkat secara mendadak sebanyak 143 kes menjadikan 201 kes baharu, semalam.

"Secara keseluruhannya, terdapat sebanyak 1,006 kes aktif dengan jumlah keseluruhan 5,785 kes.

"Walaupun 996 kes aktif berada dalam keadaan stabil dan diberikan rawatan biasa, tetapi seluruh rakyat digesa terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan bagi mengekang penularan pandemik Covid-19 terutama membabitkan komuniti," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Dr Alias yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Tunggal berkata, kerajaan negeri menyokong penuh tindakan undang-undang dilakukan agensi penguat kuasa termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) ke atas masyarakat yang degil mematuhi SOP.

Beliau berkata, daerah Besut masih mencacatkan kes positif Covid-19 tertinggi iaitu 578 kes, Setiu (252), Dungun (151), Kuala Terengganu (109) dan Kuala Nerus dengan 77 kes.

"Daerah Hulu Terengganu yang dikategorikan sebagai zon hijau kini menjadi zon kuning selepas mencatatkan dua kes manakala Kemaman pula satu kes.

"Daerah Marang dikategorikan sebagai zon jingga selepas mencatatkan sebanyak 26 kes semalam," katanya.

Dr Alias berkata, bagi memastikan keadaan pandemik Covid-19 di Terengganu terkawal, semua penduduk diingatkan supaya SOP seperti ditetapkan kerajaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Mei 2021 @ 11:40 AM