GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Baharom Bakar


Kuala Terengganu: Hanya tinggal satu daripada lapan daerah di negeri ini masih dikategorikan zon kuning penularan Covid-19 manakala tujuh lagi termasuk dua daerah terbaru iaitu Marang dan Hulu Terengganu dikategorikan zon merah, hari ini.

Daerah yang masih dikategorikan sebagai zon kuning ialah daerah Kemaman apabila merekodkan 19 kes positif Covid-19 dalam tempoh dua hari mulai semalam.

Hulu Terengganu dan Marang dikategorikan sebagai zon merah selepas masing-masing mencatatkan sebanyak 50 kes dan 42 kes pada 12 tengah hari tadi.

Kes positif di Setiu dan Kuala Nerus yang dikategorikan sebagai zon merah semalam terus melonjak masing-masing kepada 63 kes dan 94 kes.

Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu dalam catatan di Facebook (FB) berkata, kes positif Covid-19 di Kuala Terengganu, Besut dan Dungun yang sejak lebih seminggu lalu dikategorikan zon merah tidak menampakkan penurunan apabila terus meningkat setiap hari.

"Kes di Kuala Terengganu sehingga jam 12 tengah hari tadi adalah sebanyak 298 kes, Besut (103) dan 100 kes di Dungun," katanya.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan negeri, Dr Nor Azimi Yunus berkata, satu kematian dilaporkan hari ini membabitkan seorang lelaki berusia 82 tahun yang dimasukkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) pada Selasa dua minggu lalu.

"Mangsa yang mempunyai sejarah penyakit kencing manis, darah tinggi dan buah pinggang mendapatkan rawatan awal di hospital swasta kerana sesak nafas selepas mengalami gejala demam dan batuk selama lima hari," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 January 2021 @ 8:49 PM