GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Baharom Bakar


Kuala Terengganu: Setiu dan Kuala Nerus menjadi daerah terbaru dikategorikan sebagai zon merah Covid-19, hari ini.

Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) mengesahkan daerah Setiu kini mencatatkan sebanyak 46 kes dan Kuala Nerus sebanyak 67 kes positif Covid-19.

Kes aktif Covid-19 di Kuala Terengganu, Dungun dan Besut yang sejak dua minggu lalu dikategorikan sebagai zon merah terus melonjak.

Berdasarkan situasi terkini pandemik Covid-19 dikeluarkan hari ini, daerah Kuala Terengganu mencatatkan sebanyak 270 kes aktif, Dungun (100 kes) dan Besut (86 kes).

"Dua lagi daerah iaitu Marang dan Hulu Terengganu kini dikategorikan sebagai zon jingga selepas masing-masing mencatatkan 34 dan 32 kes, manakala daerah Kemaman masih berada dalam zon kuning selepas 19 kes aktif positif Covid-19 dilaporkan sehingga jam 12 tengah hari tadi," katanya melalui Facebook JKNT hari ini.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan negeri, Dr Nor Azimi Yunus ketika dihubungi mengesahkan daerah Setiu dikategorikan sebagai zon merah aktif Covid-19 hari ini manakala Kuala Nerus semalam.

Sementara itu, sebanyak 131 kes baharu Covid-19 dilaporkan hari ini menjadikan 653 kes aktif dengan keseluruhan berjumlah 1,355 kes.

"Sebanyak 562 kes berada dalam keadaan stabil dan diberi rawatan biasa, manakala satu kes sedang menjalani rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dan memerlukan bantuan alat pernafasan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 January 2021 @ 8:34 PM