Foto hiasan
Foto hiasan
Baharom Bakar

Kuala Terengganu: Jangan nawok (tipu) dan susuk (sorok) maklumat mengenai kesihatan, akibatnya akan menjadi lebih serius dan parah.

Pengarah Jabatan Kesihatan Terengganu Dr Nor Azimi Yunus berkata, pihaknya mengesan ada kes sanggup menipu petugas kesihatan dengan memberi maklumat palsu terutama mengenai dengan kontak rapat.

Menurutnya, ada yang tahu mempunyai kontak rapat tetapi sanggup mengarahkan pekerja, keluarga dan kontak sosial untuk tidak memberi sebarang maklumat kepada petugas kesihatan.

"Ada antara mereka yang sanggup memberi amaran dan tanpa perasaan belas serta simpati sanggup menuduh petugas kesihatan 'gila' ketika siasatan dilakukan.

"Anda sudah positif dan anda sepatutnya menjaga orang lain daripada turut positif dan bukannya membiarkan ramai orang lain positif hanya kerana sikap keegoan...jangan biarkan ratusan lagi positif disebabkan anda," itulah pesanannya melalui satu hantaran di Facebook (FB) hari ini.

Dr Nor Azimi menjelaskan, tindakan tidak bertanggungjawab itu boleh menyebabkan kontak rapat gagal dikesan dan bila gagal dikesan mereka ini akan berada merata dalam komuniti dan bakal mencetuskan kluster besar.

"Ketahuilah, petugas kesihatan buat siasatan kepada kes positif, ia bukan untuk menuduh atau mendakwa anda bersalah...tetapi mereka siasat untuk kesan seramai mungkin kontak rapat untuk disaring dan diasingkan, supaya penularan lebih besar dapat dicegah, menyedihkan apabila ramai juga yang tidak memberi kerjasama.

"Bila ditanya pergi mana dan jumpa siapa, mereka mampu jawab, saya lupa dan tidak tahu...petugas kesihatan hanya tanya cerita semalam dan bukannya cerita tahun lepas, mereka hanya mengaku apabila sudah terkantoi," katanya.

Dr Nor Azimi menggesa masyarakat terutama mereka yang disahkan positif Covid-19 agar bersimpati dengan petugas kesihatan yang hanya menjalankan tugas.

Dalam perkembangan lain, empat daerah di negeri itu dikategorikan zon merah selepas berlaku peningkatan kes positif Covid-19 hari ini.

Berdasarkan situasi pandemik Covid-19 dikeluarkan melalui portal JKNT hari ini, empat daerah dikategorikan zon merah itu adalah Besut selepas mencatatkan 271 kes, Setiu (254), Kuala Nerus (53) dan terbaharu Kuala Terengganu selepas mencatatkan 43 kes.

Dua daerah iaitu Kemaman dan Hulu Terengganu masih dikategorikan zon hijau apabila tiada kes dilaporkan.

Daerah Marang yang mencatatkan lapan kes positif dan Dungun (14) masih dikategorikan zon kuning.

JKNT merekodkan sebanyak 58 kes baharu Covid-19 hari ini dan satu kematian membabitkan seorang lelaki berusia 62 tahun yang mempunyai kontak rapat daripada anaknya yang disahkan positif Covid-19.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Mei 2021 @ 9:35 PM