GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Baharom Bakar


Kuala Terengganu: Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Terengganu, hari ini mengesahkan Besut menjadi daerah ketiga dikategorikan sebagai zon merah Covid-19 di negeri itu.

Dalam kenyataan di Facebook, JKN Terengganu memaklumkan daerah terbabit dikategorikan sebagai zon jingga sejak tiga hari lalu apabila mencatatkan 44 kes baharu positif wabak berkenaan.

Katanya, kes positif Covid-19 di daerah Kuala Terengganu dan Dungun yang dikategorikan sebagai zon merah sejak Rabu lalu juga terus melonjak.

"Daerah Kuala Terengganu kini mencatatkan sebanyak 193 kes manakala sebanyak 82 kes di daerah Dungun.

"Empat lagi daerah iaitu Kemaman, Marang, Setiu, Kuala Nerus masih dikategorikan zon kuning, manakala daerah Hulu Terengganu masih kekal sebagai zon hijau," kata kenyataan itu.

Mengenai situasi terkini pandemik Covid-19 di negeri ini, hari ini sebanyak 80 kes aktif dan satu kes kematian menjadikan terdapat 389 kes di seluruh negeri dengan jumlah keseluruhan sebanyak 833 kes.

Sebanyak 388 kes aktif berada dalam keadaan stabil dan dirawat di wad biasa yang dikhaskan untuk pesakit Covid-19 di Hospital Hulu Terengganu, Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Hospital Setiu dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Pesakit Covid-19 berisiko rendah (PKRC) Marang serta PKRC ILKKM Kuala Terengganu.

Daripada jumlah itu, satu kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) HSNZ dan diberikan alat bantuan pernafasan.

Terengganu mula merekodkan kes penularan tempatan yang tinggi sejak beberapa hari lalu.

"Orang ramai diminta sentiasa berjaga-jaga bagi mengelakkan diri dan keluarga daripada dijangkiti pandemik Covid-19 dengan mengutamakan prosedur operasi standard (SOP) di mana sahaja berada," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 January 2021 @ 8:48 PM