Sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tapah sedang memantau keadaan mesin boiler yang terbakar lalu meletup di sebuah kilang kuari batu, dekat Temoh, pagi tadi. FOTO Ihsan Bomba
Sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tapah sedang memantau keadaan mesin boiler yang terbakar lalu meletup di sebuah kilang kuari batu, dekat Temoh, pagi tadi. FOTO Ihsan Bomba
Rosman Shamsudin


Tapah: Tiga lelaki cedera termasuk seorang melecur di bahagian muka apabila sebuah dandang meletup dalam kejadian di kilang kuari batu di Temoh, dekat sini, hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada 10.56 pagi tadi.

Katanya, sepasukan pegawai dan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tapah dikejarkan ke tempat kejadian.

"Sebaik tiba, anggota mendapati dandang (boiler) kilang terbabit terbakar kira-kira 40 % sehingga menyebabkan berlaku letupan yang mencederakan tiga mangsa.

"Dua mangsa berusia 41 dan 44 tahun hanya cedera ringan, manakala seorang lagi mangsa berusia 30 tahun melecur di bahagian muka," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, pihaknya melakukan pemadaman sebelum membuat pemantauan bagi memastikan api padam sepenuhnya.

Katanya, semua mangsa yang cedera dihantar ke hospital untuk rawatan dan punca kejadian masih dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Mei 2021 @ 2:46 PM